
Belanjawan 2025 dibentangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Jumaat minggu lalu menyaksikan peruntukan besar terus disalurkan kepada Sabah dan Sarawak, situasi menggambarkan komitmen kerajaan perpaduan menunaikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) atas semangat persekutuan.
Menyedari jurang pembangunan masih besar berbanding Semenanjung, Putrajaya mencadangankan peruntukan RM6.7 bilion kepada Sabah manakala Sarawak RM5.9 bilion pada tahun depan. Perdana Menteri Anwar Ibrahim dipetik berkata sebahagian perbelanjaannnya bakal digunakan untuk projek jalan raya, elektrik serta air bersih.
Anwar yang juga menteri kewangan turut mengumumkan kenaikan pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak kepada RM600 juta. Jumlah dicadangkan itu meningkat sekali ganda dari RM300 juta pada tahun ini.
Atas semangat persekutuan yang membawa pembentukan Malaysia 61 tahun lalu, Putrajaya juga mencadangkan projek disifatkan ‘mega’ seperti Lebuhraya Pan Borneo diperhebat di Malaysia Timur untuk meningkatkan keselesaan warganya.
Di Sabah yang pelaksanaannya agak lewat berbanding Sarawak, kerajaan telah mengeluarkan surat setuju terima kepada kontraktor untuk melaksanakan 17 pakej dengan nilai kontrak RM9.7 bilion. Ini meliputi jajaran Kota Belud ke Kudat; Tawau ke Kampung Lot M dan Telupid ke Ranau.
Bagi menambah baik akses jalan raya, kerajaan juga telah memuktamad empat pakej kerja Sabah Sarawak Link-Road (SSLR) Fasa 2 bernilai RM7.4 bilion. Dua pakej telah dianugerahkan manakala bakinya sebelum hujung tahun ini.
Kerajaan juga bersetuju melaksanakan projek pembesaran Lapangan Terbang Tawau, Sabah dan Lapangan Terbang Miri, Sarawak dengan kos RM253 juta.
Senarai panjang fokus kepada Sabah dan Sarawak dalam Belanjawan 2025 turut memfokuskan pendidikan dengan tambah baik prasarana serta bina baru sekolah, selain perkhidmatan pengangkutan; kesihatan; keselamatan dan berkait kos sara hidup.
Semangat persekutuan
Perancangan untuk Sabah dan Sarawak pada tahun depan itu pastinya berkait rapat dengan komitmen Putrajaya menjayakan MA63 dengan mengambil semangat persekutuan.
“Kerajaan Madani menunaikan kesepakatan pemimpin terdahulu terkait Perjanjian Malaysia 1963. Maka tidak harus dipertikai sebab Sabah Sarawak diberi perhatian khusus.
“Jurang pembangunan antara negeri perlu dirapatkan khususnya melibatkan prasarana asas seperti jalan raya, elektrik dan air bersih,” kata Anwar mengulangi komitmen Putrajaya berkait MA63.
Menerusi Majlis Tindakan Pelaksana Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63), usaha terus diperkasa bagi memenuhi intipati MA63 sebagaimana tertulis dalam bingkai perlembagaan negara yang disepakati bersama, dalam konteks sebuah negara berpersekutuan bernama Malaysia.
Bulan lalu, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof yang mempengerusikan jawatankuasa teknikal di bawah MTPMA63 menyatakan ada 11 tuntutan di bawah platform rundingan itu telah berjaya diseleasaikan sehingga kini.
Tujuh daripadanya dirungkai di bawah kepemimpinan Anwar. Antaranya pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan JKR Sarawak sebagai jabatan teknik; penyerahan kuasa kawal selia bekalan Gas; dan pindaan Akta LHDN 1995 [Akta 533] bagi melantik wakil kerajaan Sabah Dan Sarawak sebagai anggota tetap badan itu.
Yang lain termasuk pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak; garis panduan khas penyerahan semula tanah direzabkan bagi maksud Persekutuan Sabah dan Sarawak; penyerahan kuasa kawal elektrik dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan cadangan pindaan Perkara 95B mengenai ubah suaian Sabah Dan Sarawak mengenai pembahagian perundangan.
Pentadbiran Ismail Sabri Yaakob pula menyaksikan tiga isu diselesaikan iaitu penyerahan kuasa pentadbiran Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan, pindaan Perkara 1(2) Dan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan dan kuasa pelesenan serta penangkapan ikan laut dalam.
Satu isu diselesaikan sewaktu pentadbiran Muhyiddin Yassin iaitu penyerahan kuasa kawal selia Liquefied Petroleum Gas (LPG) kepada kerajaan Sarawak.
Kelancaran proses rundingan menjayakan tuntutan MA63 itu menurut penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) Lee Kuok Tiong, hasil hubungan baik antara kerajaan negeri termasuk Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor dan Putrajaya.
“Komitmen kedua-dua pemimpin ini (Hajiji dan Anwar) dilihat positif dengan perdana menteri sering menyatakan sokongan kepada pemerkasaan Sabah dan Sarawak menerusi pemulihan hak-hak MA63 meskipun realisasi sepenuhnya masih memerlukan usaha berterusan,” katanya.
Turun kuasa autonomi
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan Sabah Ramzah Dambul pula dilaporkan Utusan Borneo pada 18 Okt lalu menyimpulkan perbincangan lebih terbuka dan telus di bawah jawatankuasa rasmi di bawah Fadillah telah memberi kesan positif seperti penurunan kuasa autonomi.
“Kita sudah mula melihat penurunan kuasa autonomi beberapa aspek tertentu dalam bidang strategik seperti pendidikan dan kesihatan,” ujarnya.
Pendek kata semangat persekutuan menjadi kunci kejayaan pelaksanaan MA63 yang manfaat akhirnya dirasai rakyat. Perkara itulah diyakini mendiang Jusit Rantai, iaitu individu pertama menaikkan bendera Malaysia buat kali pertama di Negeri di Bawah Bayu itu pada 16 Sept 1963.
Jusit yang kisahnya disiarkan di biografi “Land Below The Wind” tulisan Agnes Newton Keith dari Amerika Syarikat, percaya pembentukan negara lebih kuat dapat memberi manfaat terutama untuk membangunkan negerinya. Begitulah juga harapan yang lain apabila MA63 dimeterai pada 9 Jul tahun itu di London.
Itu juga harapan segenap lapisan masyarakat yang mengidamkan kesejahteraan di bawah pembentukan Malaysia atas semangat persekutuan.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.