Rundingan kunci selesai kemelut MoU peruntukan pembangkang

Rundingan kunci selesai kemelut MoU peruntukan pembangkang

Kerajaan rangka draf memorandum persefahaman peruntukan Ahli Parlimen pembangkang untuk mewujudkan kestabilan politik memanfaatkan rakyat.

dewan-rakyat

Isu peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang seakan-akan hampir tertutup rapat apabila sehingga kini blok Perikatan Nasional (PN) tidak memberi maklum balas rasmi positif terhadap draf memorandum persefahaman (MoU) diberikan kerajaan.

Berdasarkan jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa pada sesi kamar khas di Dewan Rakyat 15 Okt lalu, beliau menyatakan hanya Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberikan maklum balas.

PN pula hanya berdiam diri selepas membuat keputusan pada 15 Sept lalu untuk menolak kertas cadangan itu. Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin mendakwa syaratnya bertentangan Perlembagaan Persekutuan dan nilai budaya, moral serta agama, selain boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa, serta mengongkong kebebasan.

Malah, dakwanya beberapa syarat dikhuatiri boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera yang dijamin bawah Perlembagaan Persekutuan.

Dalam menjawab persoalan berbangkit, kerajaan diwakili Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof dalam proses rundingan terbabit bersikap telus apabila berkongsi dokumen itu supaya rakyat sendiri dapat menilai dakwaan dibuat pembangkang.

Draf itu antara lain menggariskan obligasi wakil rakyat terbabit iaitu bertindak sebagai komponen semak dan imbang bertanggungjawab dan membina; menyediakan pilihan dasar alternatif berbanding cadangan dasar dikemukakan kerajaan; serta menahan diri daripada menyemai kebencian, diskriminasi, atau keganasan sebagai suatu bentuk ekspresi politik atau perbezaan pendapat.

Wakil rakyat itu juga perlu mengakui dan mengisytiharkan Perlembagaan dan sistem demokrasi berparlimen di Malaysia berasaskan prinsip maruah dan kesaksamaan semua manusia, dan semua rakyat mempunyai peranan untuk mempromosi dan menggalakkan penghormatan terhadap hak asasi manusia dan kebebasan asasi untuk semua, tanpa mengira bangsa, agama, bahasa, dan budaya.

Penandatangan juga mengakui dan mengisytiharkan Perlembagaan dan sistem demokrasi berparlimen di Malaysia berdasarkan prinsip bahawa semua manusia dilahirkan bebas dan saksama, dan mempunyai hak untuk mendapatkan perlindungan saksama daripada sebarang bentuk diskriminasi atau hasutan.

Jemput beri cadangan

Malah, selepas penolakan itu, Fadillah menjemput pembangkang memberi cadangan namun sehingga kini tiada sebarang perkembangan.

Situasi itu menunjukkan keikhlasan kerajaan menyediakan MoU untuk memastikan kestabilan politik sehingga penggal pentadbiran Anwar Ibrahim tamat pada 2027, walaupun blok pemerintah menikmati sokongan besar di Parlimen.

Namun, selepas menolak niat murni kerajaan, PN baru-baru ini seolah masih berharap ada sinar untuk mereka. Pada sidang kamar khas di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim mengusulkan supaya kerajaan mengkaji semula MoU mengenai pemberian peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Menjawab usul itu, Zaliha memberi analogi mudah untuk memberi kefahaman kepada Shahidan. Katanya: “Analoginya, ini seperti kerajaan sudah lamar pembangkang tetapi apabila lamaran tidak dijawab…tak manislah kerajaan nak lamar lagi.”

Menurut Zaliha, beliau juga sudah berbincang dengan Fadillah yang menyatakan proses perundingan boleh dianggap terhenti apabila wakil pembangkang sehingga kini tidak pernah mengemukakan maklum balas rasmi.

“Maka tiada sebab kerajaan meneruskan rundingan sekali lagi,” katanya.

Jamin kestabilan politik

Semua pihak harus memahami kepentingan memeterai persefahaman pemimpin parti bukan berkisarkan kepada kepentingan politik tetapi menjamin kestabilan untuk mengelak ‘adegan tarik sokongan; menyaksikan Malaysia melalui saat-saat sukar dari 2020 hingga 2022.

Mungkin ramai beranggapan MoU Transformasi dan Kestabilan Politik mudah dimeterai ketika itu kerana pentadbiran Ismail Sabri Yaakob tidak memiliki sokongan besar seperti pemerintah Putrajaya kini.

Namun, kunci kejayaan sebenarnya adalah proses rundingan terbuka, yang akhirnya rakyat mendapat manfaat. Bukan terus seolah-olah menutup pintu seperti sekarang selain menambah dengan dakwaan seperti hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera akan terjejas.

Wan Ahmad Fauzi Wan Husain dari Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), menegaskan perkara itu tidak harus menjadi pertikaian kerana Perlembagaan Persekutuan telah menjamin hak keistimewaan tersebut.

Jelasnya, paling penting ketika ini semua pihak perlu menyokong usaha memulihkan ekonomi.

“Pembangkang hendaklah menyokong setiap usaha bagi memulihkan ekonomi, pemulihan ini hendak berpaksikan Perlembagaan,” kata pakar perlembagaan seperti dilaporkan FMT pada 18 Sept, selain menggesa kerajaan juga perlu bersikap adil.

Namun, untuk memulakannya kem pembangkang mungkin perlu berjiwa besar bagi merencana semula rundingan.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.