Subsidi bersasar bantu kemampanan fiskal jangka panjang

Subsidi bersasar bantu kemampanan fiskal jangka panjang

Subsidi bersasar perlu untuk meningkatkan kecekapan perbelanjaan, memastikan fiskal jangka panjang dan bantuan dinikmati golongan sewajarnya.

supermarket

Kerajaan memperkenalkan subsidi bersasar bagi menambah baik kedudukan fiskal negara serta mengurangkan ketirisan dan penyeludupan.

Bagaimanapun, pelaksanaannya mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat terutama di laman media sosial memandangkan rakyat menikmatinya sejak sekian lama.

Tidak dinafikan, pelaksanaan subsidi sejak beberapa dekad lalu bertujuan meningkatkan kesejahteraan dan meringankan beban kos sara hidup rakyat dalam usaha memacu pertumbuhan sosioekonomi ke arah negara lebih maju dan makmur.

Sepanjang tempoh 2012 hingga 2022 sahaja, kerajaan membelanjakan RM223.5 bilion atau 8.9% daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan mengurus untuk subsidi.

Sebahagian besar subsidi iaitu 71.6% tertumpu kepada bahan api seperti diesel, petrol dan gas memasak, manakala selebihnya untuk kadar faedah, input pertanian, minyak masak, elektrik, pampasan tol, pengangkutan, ayam dan telur.

Bukan itu sahaja, pelbagai barangan dan perkhidmatan lain turut diberikan subsidi oleh kerajaan seperti caj pesakit luar di hospital kerajaan termasuk hampir keseluruhan bidang pendidikan di Malaysia.

Mekanisme subsidi pukal diamalkan sekarang memberi manfaat kepada semua tanpa mengira latar belakang sosioekonomi termasuk golongan kaya dan 3.5 juta warga asing di Malaysia.

Namun, saiz subsidi pukal yang besar terutama bahan api menimbulkan risiko signifikan kepada kemampanan fiskal jangka masa panjang.

graf subsidi emel pic 101024

Tambah baik langkah salur subsidi

Mengambil kira kesan pemberian subsidi itu, pendekatan khusus perlu dirangka bagi mengurangkan jurang pendapatan, meminimumkan ketidakcekapan dan pada masa sama mengekang ketirisan dan pembaziran.

Oleh itu, penyasaran subsidi perlu dilaksanakan untuk meningkatkan kecekapan perbelanjaan dan memastikan kemampanan fiskal jangka panjang, selain memastikan kesaksamaan supaya subsidi dinikmati golongan sewajarnya.

Sehubungan itu, kerajaan mengambil inisiatif membangunkan pangkalan data isi rumah lebih bersepadu melalui platform sistem Pangkalan Data Utama (Padu) sebagai rujukan berpusat bagi menentukan kumpulan sasar yang benar-benar layak.

Kriteria dalam menentukan kumpulan sasar adalah berdasarkan pendapatan, bilangan isi rumah dan tanggungan serta pemilikan aset seperti rumah serta kenderaan.

Melalui kaedah ini, kerajaan tidak lagi menumpukan kepada kumpulan pendapatan tertentu tetapi lebih kepada kewajaran pemberian bantuan berdasarkan kriteria ditetapkan.

Manfaat jangka masa panjang adalah sumber dijimatkan hasil daripada inisiatif pelaksanaan penyasaran semula subsidi ini boleh difokuskan kepada program pembangunan sosioekonomi lain seperti sektor pendidikan serta kesihatan yang dapat memberikan impak maksimum kepada semua golongan rakyat.

Peranan berterusan KPDN

Di peringkat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), sebarang inisiatif dan usaha baik akan diteruskan untuk melindungi rakyat daripada kesan terlalu menduga daripada sebarang ketidaktentuan berikutan hasrat kerajaan melaksanakan subsidi bersasar.

Antara program dilaksanakan secara berterusan ialah Inisiatif Payung Rahmah Madani dengan peruntukan sebanyak RM200 juta diagihkan kepada rakyat.

Melalui inisiatif itu, KPDN melancarkan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM), Menu Rahmah, Bakul Rahmah dan lain-lain inisiatif untuk membantu masyarakat khususnya golongan kurang berkemampuan mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih berpatutan.

KPDN juga melaksanakan program pengedaran barang perlu, LPG dan community drumming (CD) dengan peruntukan sebanyak RM225 juta untuk memastikan penduduk di kawasan pedalaman mempunyai akses kepada sejumlah barangan perlu khususnya barangan kawalan pada harga sama dinikmati penduduk di kawasan lain.

Program itu membantu menyeragamkan harga tujuh barangan asas yang terlibat dan memastikan bekalan barangan tersebut sampai kepada penduduk di kawasan pedalaman yang terpilih melalui kos pengangkutan dibiayai kerajaan.

Selain itu, program skim penstabilan harga minyak masak diperkenalkan kerajaan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM845 juta yang bertujuan untuk meminima kesan kenaikan harga minyak sawit mentah ke atas harga minyak masak.

Ia juga dilaksanakan bagi menstabilkan harga runcit minyak masak bersubsidi untuk kegunaan isi rumah tempatan dan memastikan bekalan minyak masak di pasaran sentiasa mencukupi.

Pada masa sama, KPDN turut memperkenalkan program penyeragaman harga bagi Sabah, Sarawak dan Labuan (Port-to-Port) dengan menyediakan peruntukan RM40 juta.

Program itu diperkenalkan bagi memastikan harga gula, minyak masak dan tepung gandum di Sabah, Sarawak dan Labuan dijual pada harga sama dengan Semenanjung.

Selain pelaksanaan inisiatif mesra rakyat, KPDN juga mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan oleh 2,200 anggota penguat kuasa seluruh negara melalui akta bawah penguatkuasaan KPDN seperti Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

Langkah itu bagi mengelakkan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barangan untuk mengambil untung berlebihan apabila penyasaran subsidi dilaksanakan.

Setiap hari, lebih 900 pegawai pemantau harga (PPH) ditugaskan untuk memantau lebih 400 jenis barangan meliputi lebih 1,500 premis di mana data harga itu dikumpulkan dan dianalisis untuk melihat pergerakan harga barang terpilih.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.