Ringgit mengukuh beri manfaat kepada M40, B40

Ringgit mengukuh beri manfaat kepada M40, B40

Kita boleh jangka pemborong, peniaga, dan pengilang memindahkan penjimatan kos kepada pengguna, yang memanfaatkan golongan M40 dan B40 dengan kos sara hidup lebih rendah.

Ringgit muncul sebagai mata wang yang mencatatkan prestasi terbaik di rantau ini dan global, apabila ia meningkat 11% dalam tiga bulan kebelakangan ini dan mengukuh berbanding dolar AS, euro, dan pound British.

Prestasi ringgit yang cemerlang bukan mengenai kebanggaan buat negara semata-mata.

Ringgit yang agak lemah bermakna kos yang lebih tinggi untuk pengimport, menyebabkan harga komoditi pertanian dan baja lebih tinggi, namun kesannya tidak terhad kepada sektor pertanian. Kos import juga tinggi bagi pengilang dan sudah tentu kos dipindahkan kepada pengguna.

Bukan sahaja syarikat mendapat manfaat daripada ringgit yang lebih kukuh, tetapi juga rakyat.

Ringgit yang lebih kukuh menyebabkan kos import lebih rendah. Ini pula akan menyebabkan import barangan perantaraan seperti bahan mentah untuk membuat produk akhir lebih murah.

Kumpulan M40 dan B40 mengambil berat kos sara hidup. Kita negara yang bergantung pada barangan makanan yang diimport, sama ada buah-buahan dan sayur-sayuran atau makanan yang diproses. Memandangkan ringgit meningkat, kita berharap kos makanan import akan berkurangan. Kita boleh menjangkakan pengurangan ini akan meluas, menurunkan kos makanan, begitu juga kos makan di luar.

Memandangkan dolar AS digunakan untuk menyelesaikan urus niaga antarabangsa, kini ringgit yang kita perlukan untuk menyelesaikan pembelian tidak sebanyak dahulu, daripada makanan sehinggalah ke perabot dan pakaian serta kos pengangkutan.

Kita boleh jangka pemborong, peniaga, dan pengilang akan memindahkan penjimatan kos ini kepada pengguna. Ini akan beri manfaat kepada golongan M40 dan B40 yang akan dapat menikmati kos sara hidup yang lebih rendah, memandangkan harga barangan dan perkhidmatan harian akan lebih berpatutan.

Dengan pengukuhan nilai ringgit, Pelan Induk Perindustrian Baharu dan Rancangan Malaysia ke-13 boleh dilaksanakan dengan lancar. Kemudian, kerajaan akan dapat melancarkan projek-projek mega dan sektor swasta akan dapat meneruskan pelaburan yang telah dirancang.

Ini akan menjana lebih banyak kegiatan ekonomi, akibatnya lebih banyak pekerjaan akan diwujudkan. Demikian itu, akan ada lebih banyak peluang pekerjaan untuk M40 dan B40: tahap gaji akan meningkat, menambah baik kehidupan mereka. Perkembangan ini amat berpatutan kerana paras gaji di Malaysia sudah lama tidak berubah.

Rangka kerja MADANI memupuk keyakinan dalam fikiran pelabur, mengakibatkan dana mengalir ke negara ini. Malaysia adalah ekonomi yang paling mengalakkan di rantau ini, maka mereka segera memilih Malaysia apabila mencari lokasi pelaburan selain AS.

Rangka kerja Ekonomi Madani menguar-uarkan naratif yang tuntas. Ia menyentuh isu-isu yang saling berkait agar Malaysia bertambah baik, dari segi sektor pembuatan, mencipta pekerjaan, memperbaiki keadaan hidup rakyat, dan mengatasi ketidaksamaan dan kemiskinan.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini kita dapat lihat bagaimana dasar proaktif kerajaan, ditambah pula dengan rangka kerja MADANI, meningkatkan keyakinan pelabur. Pelabur memilih Malaysia sebagai destinasi. Ini bukan sahaja memberi manfaat kepada syarikat tetapi juga golongan B40 dan M40.

Kita boleh menjangkakan Belanjawan 2025 akan melangkah lebih jauh dan menangani kemiskinan, ketidaksamaan, dan kos sara hidup. Ini isu yang membimbangkan rakyat dan saya pasti ia akan disentuh dalam Belanjawan 2025.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.