Rakyat sehati sejiwa menyokong Keluarga Malaysia dalam ujian pahit getir

Rakyat sehati sejiwa menyokong Keluarga Malaysia dalam ujian pahit getir

Suasana bencana ini bertukar wajah dengan citra warna masyarakat Malaysia yang berganding bahu membantu mereka yang terperangkap.

Bumi bertuah Malaysia kini mengalami ujian alam dan nilai kemasyarakatan. Bencana banjir yang berlaku baru-baru ini bukan sahaja menyayati hati tetapi juga mempamerkan kejituan semangat hidup bersama secara muhibah dan saling membantu.

Tindakan pantas masyarakat setempat mengambil inisiatif untuk membantu mangsa yang terperangkap dalam banjir adalah sesuatu yang mungkin dijangkakan. Namun begitu, banjir kali ini tidak sama seperti yang pernah berlaku pada tahun 1971 atau 2003 mahupun 2014. Walaupun setiap banjir yang pernah berlaku memberi pengalaman yang berbeza namun banjir kali ini sukar diramalkan impaknya. Air sungai yang bergerak laju dengan sampah-sarap melimpahi ke jalan raya dan meredah masuk ke rumah tanpa membolehkan rakyat mencari jalan keluar. Siapa sangka hujan yang tidak berhenti ini menyebabkan air naik sehingga ke paras 1.2m.

Banjir kilat skala besar yang meragut beberapa nyawa sudah pasti memberi trauma kepada keluarga yang terkilan kerana tidak mampu menyelamatkan mereka. Video dan foto-foto yang dikongsikan dalam media sosial juga menjadi bukti bagaimana susahnya untuk mengalihkan warga emas yang mempunyai komplikasi kesihatan dan anak-anak kecil ke tempat yang lebih selamat. Kerisauan ibu bapa terserlah melihat anak kecil mereka terpaksa berlapar kerana bantuan tidak sampai lebih awal seperti yang diharapkan.

Pada masa yang sama, ramai individu dan keluarga yang terpaksa bermalam di atas jalan raya kerana tidak mempunyai laluan yang selamat ke destinasi yang dituju. Bukan sahaja mereka kelaparan tetapi terpaksa juga tabah dalam kepanasan dan tanpa kemudahan tandas. Rintihan mereka yang terperangkap hanya boleh dikongsikan dalam alam maya tetapi emosi mereka tercabar ekoran kelembapan bantuan yang sepatutnya diterima.

Namun begitu, suasana bencana ini bertukar wajah dengan citra warna masyarakat Malaysia yang berganding bahu membantu mereka yang terperangkap. Ini disusuli dengan bantuan memberikan makanan dan peralatan atau kelengkapan lain, khasnya tempat berteduh. Ramai orang perseorangan, badan bukan kerajaan dan organisasi sosial dan agama, beberapa ahli parlimen serta artis terkenal mengambil langkah bernas menuju ke lokasi banjir dan melakukan apa yang terdaya.

Jika sebelum ini kita digeruni oleh virus Covid-19 yang tidak membenarkan masyarakat berkumpul secara beramai-ramai, namun nampak gayanya nilai keinsanan mengatasi halangan tersebut. Ramai di antara kita yang terpusu-pusu mahu membantu mereka yang terjejas ekoran banjir kilat ini.

Serumpun bak serai, sesusun bak sirih adalah terjemahan terbaik Keluarga Malaysia yang hidup saling bermuafakat dan sentiasa bersama seperti yang tersingkap dalam bencana banjir kali ini. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa ajaran agama masing-masing yang menjayakan misi bantuan tersebut. Umpamanya, Tzu Chi Foundation, Sikh Gurdwara, masjid, gereja, kuil dan NGO yang berasaskan agama. Malah, semua institusi sosial ini sudah lama menghulurkan bantuan kepada masyarakat kita yang menimpa masalah, dan penampilan kerap mereka terserlah khasnya ketika pandemik tahun lepas.

Jika ingin dicari persamaan dari segi nilai yang membolehkan rakyat kita menyediakan makanan di bawah satu bumbung yang sama, maka penerimaan adalah jawapannya.

Kita bukan sahaja diperintah untuk menerima hukum atau kehendak Pencipta, tetapi pada masa yang sama persamaan nilai dalam ajaran yang berbeza membolehkan kita mengakui bahawa perbezaan atau kepelbagaian ini adalah semulajadi hatta harus dirai dan dihormati.

Umpamanya, jika kita mahu mengambil iktibar dari bencana banjir kilat dari sudut agama, maka petikan berikut berjaya menyedarkan umat manusia bahawa setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Sesungguhnya tiap-tiap kesulitan itu ada kemudahan (Surah AL-Insyirah, ayat 6)

God has a reason for allowing things to happen. We may never understand His wisdom, but we simply have to trust His will (Psalm 37:5)

Whatever happened, happened for the good. Whatever is happening is happening for the good. Whatever will happen, will also happen for the good (Bhagavad Gita)

Everything happens for a reason. That reason cause change. Sometimes it hurts. Sometimes it’s hard. But in the end, it’s all for the best (Buddhisme)

We must realize that everything which happens is due to some wisdom and that nothing happens without a reason (Bahai)

You created it, and You alone understand it. It is all Your Play (Guru Granth Sahib)

Akan tetapi, jangan salahkan Pencipta ekoran sikap pengotor masyarakat yang suka membuang sampah merata-rata dan ketidakcekapan pihak pentadbir untuk menyelesaikan masalah banjir ini. Jangan pula disamakan bahawa banjir ini adalah bala kerana ada masyarakat yang gaya hidupnya berbeza dengan kita. Seterusnya, jangan juga menyimpulkan bahawa banjir ini adalah acara tahunan justeru enggan menyelesaikannya.

Hikmah yang terserlah setakat ini adalah keikhlasan rakyat kita yang tidak boleh tidur lena apabila ada rakyat lain yang kelaparan dan kesejukan. Kebanyakan kita menghabiskan cuti akhir tahun dengan membaca laporan berita dan perkongsian terkini mengenai banjir kilat ini. Kebanyakan kita juga berkerah tenaga untuk membersihkan rumah ibadat, rumah jiran tetangga dan insan yang tidak dikenali hanya kerana kita prihatin.

Bukankah ini sesuatu yang menyenangkan? Bukankah ini mengharukan? Bukankah ini menyatu-padukan? Bukankah ini menggambarkan semangat sebenar keluarga kita, keluarga Malaysia? Tepuk dada tanya selera.

Bagi warganet yang berteorikan konspirasi, usahlah memperlekehkan usaha murni keluarga rakyat ini. Usahlah meracuni pemikiran individu lain dengan perkara yang tidak benar, seperti isu makanan halal. Usahlah berdebat tanpa sebab. Usahlah menjadi ‘polis etika’ yang hanya mahu menunding jari.

Bagi pihak pentadbir, wajibkan jiran tetangga untuk menghadiri kursus berenang. Wajibkan beberapa bot di kawasan kejiranan yang mempunyai potensi banjir termasuk memberikan jaket keselamatan untuk setiap isi rumah. Lakukan yang terbaik kerana mereka adalah ciptaan Tuhan yang harus disantuni.

Bagi rakyat negara tercinta, sudah masanya untuk kita kenali jiran masing-masing. Sudah tiba masanya kita mengambil peduli akan adab dan peraturan agama dan budaya lain. Masanya juga sudah tiba untuk kita bersikap terbuka dan berlapang dada melihat bagaimana komuniti agama dan budaya lain menjalani kehidupan mereka. Sensitiviti agama harus dihormati tetapi pada masa yang sama menimba ilmu mengenai agama
lain.

Semoga semua yang terkesan dari bencana ini terbela nasib mereka dan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang sentiasa menjaga kebajikan satu sama lain. Hashtag #kitajagakita dan #rakyatjagarakyat pastinya terpahat dalam setiap sanubari kita.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.