Tangani cubaan bunuh diri dengan perubatan, bukan undang-undang

Tangani cubaan bunuh diri dengan perubatan, bukan undang-undang

Peranan undang-undang pada asasnya adalah untuk mendidik, bukan menghukum semata-mata, terutama bagi kes depresi.

Menurut undang-undang Malaysia, Seksyen 309 Kanun Keseksaan, cubaan membunuh diri adalah satu jenayah yang boleh membawa kepada hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Bunuh diri atau cubaan bunuh diri dilihat memberi kesan mendalam pada diri, keluarga dan masyarakat.

Dari segi perubatan, bunuh diri dilihat sebagai tindakan manusia yang menyebabkan kematian kepada diri sendiri dan dalam kebanyakan keadaan si pelaku menunjukkan kemahuan untuk membunuh diri.

Bunuh diri boleh berlaku secara spontan dan juga dirancang dengan pelaku biasanya memperlihatkan tanda-tanda amaran melalui penyataan lisan ataupun meninggalkan surat atau nota terakhir.

Antara tanda amaran lain yang dapat dilihat seperti perubahan personaliti, menjauhkan diri daripada orang ramai serta peningkatan penggunaan alkohol dan penyalahgunaan dadah.

Bunuh diri dilihat sebagai satu reaksi tragik kepada tekanan yang melampau dan tidak mampu ditangani dengan baik apabila hidup di dunia sudah tidak dirasakan indah lagi.

Pelaku biasanya berasa bahawa hidup mereka tiada lagi harapan dan masa depan. Mereka membuat kesilapan dengan memilih bunuh diri sebagai satu jalan penyelesaian, jalan keluar, jalan pintas atau jalan singkat kepada permasalahan tersebut.

Ini kerana orang yang bahagia sama ada beragama atau tidak, tidak mungkin sanggup menjadi Tuhan dan mengambil nyawanya sendiri.

Dalam kes sebegini orang yang beragama dan beriman akan menahan diri daripada membunuh diri kerana terdapat unsur ruhiyyah, natijah keimanan yang berupaya menghalang cubaan bunuh diri.

Risiko untuk seseorang membunuh diri meningkat apabila terdapat sejarah keluarga, penyalahgunaan dadah, masalah kesihatan mental seperti depresi dan juga masalah kesihatan kronik seperti kanser.

Di samping itu, situasi semasa juga dilihat banyak menyumbang kepada risiko membunuh diri seperti yang dapat dilihat semasa situasi pandemik Covid-19 ini.

Ramai yang terpaksa berhadapan dengan situasi getir kehilangan pekerjaan dan pendapatan, ketakutan serta stigma masyarakat itu sendiri.

Bunuh diri pada dasarnya dilihat sebagai jenayah ke atas diri sendiri dan tidak memudaratkan orang lain atau lebih popular juga dikatakan sejenis jenayah tanpa mangsa (victimless crime).

Namun begitu, kemahuan untuk bunuh diri mahupun cubaan membunuh diri membawa kesan kepada emosi pelaku.

Pelaku biasanya tidak boleh lagi berfungsi dengan baik atau menjalankan tugas hariannya kerana terlampau memikirkan kemahuan untuk bunuh diri.

Malah, jika cubaan bunuh diri yang tidak berjaya menyebabkan kematian, ia boleh membawa kepada kecederaan fizikal yang sangat serius dan juga kecacatan kekal.

Hakikatnya, kesan emosi turut dirasai oleh keluarga, saudara mara dan juga masyarakat setempat.

Kejadian bunuh diri juga boleh menyumbang kepada kos pengurusan yang tinggi, sama ada dari segi perubatan mahupun pengurusan mayat.

Kejadian bunuh diri boleh dielak

Kejadian bunuh diri adalah sesuatu yang boleh dielakkan.

Terdapat beberapa rawatan farmakoterapi dan juga psikoterapi yang boleh diberi bagi merawat punca masalah tersebut.

Masyarakat perlu dididik untuk peka dan mengenal pasti tanda amaran yang berlaku sama ada pada ahli keluarga, rakan sejawat ataupun sesiapa sahaja.

Bantuan dan sokongan emosi perlu disediakan oleh pelbagai pihak bagi membolehkan seseorang yang mempunyai masalah emosi dan kecelaruan bagi mendapatkan bantuan.

Selain itu, kerajaan juga perlu lebih prihatin kepada mereka yang mengalami kesusahan, terutama semasa pandemik ini dengan meringankan beban, termasuklah beban kewangan.

Dalam pada itu, pihak media juga boleh memainkan peranan untuk tidak mensensasikan berita yang melibatkan bunuh diri dan bersifat prejudis kepada mangsa.

Sebaliknya ia perlu diubah kepada berita yang boleh membangkitkan kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat.

Peranan undang-undang pada asasnya adalah untuk mendidik masyarakat, bukannya secara totok menghukum, terutamanya bagi kes depresi, emosi tidak terkawal dan jenayah tanpa mangsa.

Undang-undang seharusnya lebih bersifat memahami dan menyelesaikan, bukan mengawal dan memeperintah (command and control) secara semberono.

Bukan semua hal masyarakat boleh diselesaikan dengan menjatuhkan hukuman dan undang-undang bukan semata-mata bertujuan untuk menghalang (deterrence) jenayah.

Seperti sedia maklum, Covid-19 terkesan pada semua golongan yang memungkinkan kenaikan statistik bunuh diri akibat kesan persekitaran.

Harapnya draf undang-undang untuk memansuhkan cubaan bunuh diri sebagai satu jenayah akan dipercepatkan selaras gesaan pakar psikiatri serta pengamal undang-undang bagi mengelakkan masyarakat terjerumus kepada permasalahan lebih besar, iaitu kemasukan pesalah ke dalam penjara yang menghilangkan punca pendapatan keluarga, menjatuhkan nama baik juga reputasi, merosakkan institusi keluarga dan sebagainya.

Mereka seharusnya dibantu bukan diberikan jalan buntu kepada permasalahan yang semakin meruncing.

Juga diharapkan agar institusi kesihatan mental serta agama mengambil peranan dan memperkasakan sistem sedia ada.

Rakyat juga harus bersikap terbuka menerima hakikat dirinya atau keluarganya mengalami masalah mental dan segera mendapatkan rawatan.

Masalah kemurungan, emosi atau depresi yang berlarutan boleh terjadi pada sesiapa sahaja meski pada orang beragama atau kuat agama.

Pesakit haruslah dibantu dengan terapi jiwa dan nasihat institusi mental juga agama dan tidak terlalu memberatkan isu semasa yang remeh temeh.

Pesakit seharusnya tidak dihukum dengan penjara dan denda yang menaikkan persoalan keberkesanan hukuman sebegini.

 

Penulis adalah pensyarah perubatan dan undang-undang di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.