
Bukanlah sesuatu yang aneh jika pisau dapur tanpa sengaja terkena pada jari atau tangan anda semasa memasak.
Persoalannya, apakah tindakan yang anda perlu lakukan setiap kali berlakunya situasi seperti itu?
Anda kena cepat merawat luka terbuka itu!
Kenapa penting untuk merawat luka terbuka?
Kemalangan boleh berlaku di mana-mana sahaja tidak kira di jalan raya, luar rumah, juga di dalam rumah termasuklah di dapur!
Mungkin benar bahawa kemalangan di dapur itu tidaklah begitu serius selagi ia tidak melibatkan letupan, letusan atau lecuran.
Namun, sekadar kecederaan yang kecil pada jari atau tangan tukang masak juga tidak boleh dipandang ringan sahaja.
Ini kerana kecederaan yang kecil seperti terhiris pisau dapur juga akan mengakibatkan luka yang terbuka pada kulit anda.
Kesan jika tidak merawat luka terbuka dengan kadar segera akan menyebabkan pendarahan berterusan yang berbahaya.
Apa perkara pertama yang perlu dilakukan?
Disebabkan itu, adalah sangat penting untuk anda menghentikan pendarahan akibat kecederaan tersebut terlebih dahulu.
Sebenarnya, anda mungkin boleh merawat luka kecil yang terjadi di dapur itu secara sendiri jika luka yang dialami tidak begitu dalam.
Jika luka yang dialami itu terlalu dalam pula, anda mungkin perlu berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan lanjutan.
Persoalannya, bagaimanakah cara merawat luka terbuka yang tepat untuk menghentikan pendarahan secara sendiri?
- Iodin – ia adalah satu cara paling efektif kerana ia mampu mengelakkan jangkitan yang tidak diingini.
- Air batu – ia mampu mengecutkan salur darah dan membekukan darah dengan lebih pantas.
- Uncang teh – asid tanin yang terkandung di dalam uncang teh boleh membantu darah membeku dengan cepat.
- Cecair kumur mulut – alkohol yang terkandung di dalamnya boleh bertindak mengecutkan tisu.
- Jeli petroleum – ia boleh membantu mengelak luka daripada membentuk parut yang dalam serta gatal.
- Antiperspirant – aluminium klorida yang terkandung boleh membantu mengecutkan salur darah dan menghentikan pendarahan.
Pun begitu, tidak semua bahan di atas ini mempunyai sebarang bukti saintifik untuk membuktikan keberkesanannya dalam menghentikan pendarahan.
Ini adalah senarai tindakan yang anda perlu lakukan
Mari beralih pula kepada turutan tindakan yang anda kena buat sekiranya jari atau tangan terkena hirisan pisau dapur.
Berikut merupakan cara merawat luka terbuka akibat kemalangan di dapur:
- Sebelum sentuh luka tersebut, pastikan anda basuh tangan dan jari terlebih dahulu untuk mengelakkan jangkitan.
- Cuba hentikan pendarahan secepat mungkin kerana luka kecil biasanya tidak memakan masa lama untuk darah daripada berhenti mengalir dengan 6 bahan di atas tadi.
- Selepas pendarahan pada luka telah terhenti, bilaskan kawasan tersebut dengan air.
- Jika ada kotoran yang melekat, buangkan ia dengan perlahan dan berwaspada.
- Sapukan antibiotik kerana ia mampu membantu melembapkan kawasan luka di samping mengurangkan parut kelak.
- Pastikan anda berjumpa dengan doktor jika dapati luka anda masih sakit, merah, bengkak atau bernanah.
Sekiranya luka akibat terhiris pisau dapur itu begitu teruk dan anda tidak berani untuk menguruskannya, segeralah berjumpa doktor untuk rawatan lanjut.
Tolong pentingkan keselamatan diri di dapur!
Sudah tentu bahawa mencegah itu adalah lebih baik daripada mengubat, maka adalah sangat penting untuk kita berwaspada sebelum ia terjadi.
Jadi, kita perlu memastikan bahawa dapur kita selamat agar situasi seperti jari atau tangan terhiris pisau dapur tidak berlaku dan berulang.
Simpan barang dapur di tempat selamat
Paling penting, sila simpan segala barang di dapur yang berbahaya di tempat selamat seperti di dalam kabinet dan ia termasuklah:
- Pisau
- Gunting
- Pinggan dan mangkuk kaca
- Gelas dan cawan kaca
- Cerek, periuk dan kuali
- Mesin pengisar, pembakar dan ketuhar
Proses memasak di dapur yang selamat
Semasa memasak, sila pastikan proses tersebut selamat dengan cara tidak melakukannya serentak dengan perbuatan lain.
Jangan letakkan pisau, gunting atau peralatan memotong lain di tempat yang mudah terjatuh dan pastikan anda memegang ia dengan baik.
Selepas memasak, simpankan semua peralatan tadi ke tempat asal agar tidak berlaku kemalangan yang tidak diingini.
Pastikan anda mempunyai peti kit keselamatan
Meskipun ia adalah sesuatu yang sangat penting, ramai isi rumah yang mungkin tidak mempunyai simpanan peti kit keselamatan ini.
Oleh itu, sila pastikan anda membeli, menyimpan dan sentiasa memeriksa kandungan di dalamnya agar ia sentiasa tersedia untuk digunakan.
Jika masih terjadi luka terbuka akibat kemalangan di dapur yang tidak diingini pada anda atau orang lain, jangan terlambat untuk bertindak!
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]