Jangan pelik jika badan selalu rasa lesu. 5 tabiat ini mungkin jadi punca!

Jangan pelik jika badan selalu rasa lesu. 5 tabiat ini mungkin jadi punca!

Kadangkala kepenatan juga boleh terjadi walaupun tidak melakukan apa-apa dan ini pasti akan menimbulkan tanda tanya.

Bekerja tanpa henti juga boleh menjadikan badan menjadi penat dan lesu. (Gambar Rawpixel)

Penat! Ia merupakan sesuatu yang pasti berlaku kepada setiap manusia normal selepas selesai melakukan sesuatu pekerjaan. Persoalannya, apakah punca cepat penat yang mungkin kita tidak sedar?

Kadangkala kepenatan juga boleh terjadi walaupun tidak melakukan apa-apa dan ini pasti akan menimbulkan tanda tanya.

Punca cepat penat yang ramai belum tahu

Kebiasaannya, kepenatan akan dikaitkan dengan aktiviti seharian dalam kehidupan seperti bekerja, bersenam, bersukan mahupun belajar.

Ya, tidak dapat dinafikan bahawa aktiviti-aktiviti di atas adalah penyumbang utama kepada keletihan yang tidak boleh dielakkan.

Pun begitu, mungkin ada perkara lain yang mendalanginya termasuklah:

1. Tidak bersarapan pada waktu pagi

Sebab itulah ibu anda akan selalu berpesan agar jangan tinggal sarapan pada waktu pagi!

Meskipun anda tidak rasa lapar atau tidak punya mood untuk makan walau sedikit pada waktu pagi, tubuh badan masih memerlukannya.

Ini kerana tubuh badan memerlukan glukosa untuk otot dan otak berfungsi dengan baik selepas sekian waktu berehat di malam hari.

Selain glukosa, ada banyak lagi nutrien yang kalian boleh terlepas sekiranya tertinggal sarapan pagi yang seterusnya akan membuat anda lebih cepat ‘barai’.

2. Kerja, kerja, dan kerja tanpa henti

Tanpa mengira jenis atau sektor pekerjaan sama ada di pejabat atau kilang, ia tetap merupakan sesuatu yang memenatkan baik buat otak dan juga tubuh badan.

Menurut kajian Draugiem Group, pekerja yang efisien dan produktif adalah apabila mereka bekerja selama 52 minit dan kemudian berehat selama 17 minit.

Sudah terang lagi bersuluh, jangan lagi memaksa diri anda untuk terus bekerja berjam-jam lamanya kerana ia tidak bagus buat mental dan fizikal.

3. Bersenam dengan terlalu banyak

Kata orang, bersenam mampu membina tenaga agar kita tidak cepat penat. Namun, sebaliknya pula akan terjadi jika anda bersenam dengan terlalu banyak.

Menurut artikel Livestrong, bersenam itu adalah bagus jika dilakukan dengan cara yang betul yakni makan dan minum dengan sihat serta rehat dan tidur dengan cukup.

Oleh itu, tiada salahnya untuk bersenam cuma pastikan anda melakukannya dengan kadar yang berpatutan dan bersesuaian dengan gaya hidup yang diamalkan.

4. Kopi juga adalah punca cepat penat?

Siapa di sini penggemar kopi? Selepas membaca ini, kalian mungkin mahu mengubah sedikit tabiat ini!

Untuk pengetahuan anda, semua minuman kopi mengandungi kafein yang merupakan dalang sebenar kepada kepenatan dalam diri.

Ini kerana kafein akan mengganggu proses pengeluaran adenosine – sebatian yang membuat kita mengantuk, dan ia akan membuat kita lebih cepat penat.

Jadi, kepercayaan di mana minum kopi untuk berjaga pada tengah malam mungkin adalah kurang tepat.

5. Postur tubuh badan yang ‘penat’

Percaya atau tidak, postur tubuh badan juga akan menjadi pencetus kepada kepenatan yang berlaku tanpa diundang.

Semasa sedang bekerja di hadapan komputer riba, berjalan atau berbaring, postur anda seharusnya tegak dan tidak bongkok agar tidak mudah penat.

Postur yang buruk akan memberi lebih tekanan pada tulang, sendi dan ligamen, dan inilah punca keletihan.

Mulai hari ini, sila betulkan postur tubuh anda ya!

Artikel ini telah disiarkan di Hello Doctor. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.