
Saya terjumpa satu petikan kata-kata yang membuatkan saya berfikir. “Adakah anda mengecas semula diri anda sebagaimana dilakukan pada telefon pintar anda?”
Bukankah ia satu perkara yang menarik apabila memikirkan bahawa kita semua pasti mencapai telefon dan mula melihat dunia luar menerusi skrin masing-masing sebaik bangun tidur.
Bagaimana pula dengan melihat aspek dalaman kita terlebih dulu?
Kemahuan dalam diri setiap orang menjadi lebih kuat pada waktu pagi dan ia akan berkurangan sehingga ke malam.
Jika mencapai telefon adalah perkara pertama yang anda lakukan sebaik membuka mata, ia boleh mengurangkan kemahuan diri terutama apabila menerima pelbagai mesej yang mengganggu.
Setiap minit berharga yang dihabiskan untuk memeriksa mesej itu akhirnya akan menganggu perancangan anda yang sepatutnya melakukan senaman atau sesuatu produktif untuk diri sendiri.
Waktu pagi sebenarnya adalah waktu yang paling sesuai untuk melakukan senaman atau membuat keputusan positif untuk kehidupan anda.
Saya mempunyai rakan yang menggunakan masa ini khusus ini untuk membuat rancangan bermain tenis dengan rakan atau menempah kelas kesihatan serta membuat bayaran pendahuluan segera bagi memastikan tenaga pengajar itu muncul.

Waktu pagi juga adalah waktu paling sesuai untuk bermeditasi yang boleh meningkatkan aliran darah ke bahagian korteks prefrontal otak yang mengawal perancangan, kebolehan membuat keputusan serta emosi seseorang.
Menurut satu kajian di Harvard mengenai otak seseorang yang bermeditasi, ia dapati bahagian korteks prefrontal mereka lebih tebal.
Sebab itu, orang yang sentiasa bermeditasi mempunyai daya kekuatan otak, kemahuan diri, kebolehan menguruskan emosi dan respons kepada stress dengan baik.
Ia juga mendedahkan bahawa bahagian otak itu juga akan mengecut ketika usia meningkat (ini juga mempunyai kaitan dengan sikap pelupa ketika meningkat usia) namun kajian dilakukan oleh saintis neuro Harvard, Dr Sara Lazar mendapati otak mereka berpengalaman dalam meditasi yang berusia 50 tahun mempunyai jirim kelabu pada korteks prefrontal sama seperti orang berusia 25 tahun.
Malangnya, kita terlalu lalai dengan dunia luar hingga kadangkala terlupa dan terputus hubungan dengan diri sendiri.
Ia umpama meletakkan diri orang lain sebelum diri sendiri terutama dari aspek fizikal dan mental.
Apabila anda menjaga diri anda, anda boleh menjaga orang lain di sekeliling dengan lebih baik dan tenang. Ia boleh dilakukan sekiranya kita mengambil masa untuk memberi ruang mengembalikan semula tenaga diri.
Apabila anda mengabaikan diri dan hanya memberi fokus terhadap kerja, anak-anak ataupun orang lain, anda akan merasa tenaga itu semakin berkurangan.
Pelbagai tanda akan dialami termasuk mula menanam kebencian, penat, mudah terganggu emosi, sistem imun yang lemah serta sukar tidur pada waktu malam.

Untuk mengetahui sama ada anda terlalu memberi hingga menimbulkan suasana tidak sihat, semak semula perkara ini.
Tanya diri anda soalan asas ini.
- Adakah anda berasa tertekan? Melakukan sesuatu atas dasar mencari kegembiraan sepatutnya mengembalikan semangat anda dan berasa senang dengan diri sendiri tetapi jika berlebihan ia boleh memenatkan.
- Adakah anda sukar untuk berkata ‘Tidak’? Berhati-hati dengan perasaan bersalah atau negatif dan beri peluang untuk diri sendiri berkata ‘Tidak’ kepada permintaan tidak munasabah yang mengambil masa dan tenaga anda.
- Anda mengabaikan diri sendiri? Adakah anda sentiasa mengenepikan matlamat diri atau melengah-lengahkannya?
Jika benar, anda harus mula mengutamakan diri sendiri berbanding memberi fokus kepada orang lain. Hormatilah masa anda dan pastikan ia dimanfaatkan sepenuhnya dengan melakukan sesuatu yang anda inginkan.
- Adakah anda cenderung terlebih komited? Jika terlalu menekan diri sendiri, belajar untuk mengawalnya dan mempertimbangkan waktu untuk diri sendiri dengan meditasi pada setiap pagi supaya pemikiran lebih tenang atau lakukan aktiviti yang boleh memberikan ketenangan.
Sekiranya anda mengutamakan diri sendiri, anda akan membina lebih banyak tenaga dan
sikap sayangkan diri sendiri untuk membantu berdepan dengan situasi harian.
Salah satu permulaan terbaik ialah sebaik anda terjaga dari tidur kerana ia adalah peluang keemasan untuk memulakan hari dengan melakukan meditasi dan rutin senaman sebagai cara mendapatkan keadaan mental yang lebih tenang.
Ini adalah perkara mengingatkan diri sendiri untuk terus menghormati dan menyayangi diri pada setiap hari. Tetapkan satu sempadan yang sihat terhadap waktu anda.
Apabila diamalkan sikap sayangkan diri sendiri, semuanya akan menjadi lebih lancar dan kita mampu menangani apa jua situasi dalam keadaan lebih positif.
Jojo Struys ialah pengasas ‘OHANAJO awake’, sebuah platform online kesedaran yang membantu orang ramai menangani stress, keresahan dan masalah tidur. Nikmati aktiviti meditasi, yoga, ‘sound bath’ dalam tempoh kurang 15 minit setiap hari. Layari laman web www.ohanajo.com untuk sesi percubaan percuma.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]