5 petunjuk rutin sihat anda berkesan

5 petunjuk rutin sihat anda berkesan

Kejayaan menurunkan berat badan bukan hanya terletak pada jarum penimbang, tetapi keberkesanannya boleh dilihat pada perubahan diri anda sendiri.

Untuk mencapai sasaran berat badan ideal, rutin kecergasan yang berkesan amat penting untuk menjalani hidup yang lebih sihat. (Gambar Rawpixel)

Semua orang tahu, proses menurunkan berat badan bukan satu perkara yang mudah kerana ia mengambil masa untuk mencapai sasaran yang diinginkan.

Walaupun angka pada mesin penimbang mungkin tidak bergerak atau statik, namun anda tetap merasai manfaat kesihatan sepanjang proses berkenaan.

Mesin penimbang bukan faktor penentu rutin menurunkan berat badan anda berkesan. (Gambar Rawpixel)

Jika anda tertanya-tanya samada rutin kecergasan anda berkesan atau tidak, berikut adalah antara petunjuk yang mungkin boleh diikuti dan perubahan yang berkesan pada diri anda.

1. Mood jadi lebih baik

Kesihatan fizikal dan mental amat berkait rapat dan perubahan mood yang lebih baik biasanya adalah manfaat awal dirasai ketika anda mula melakukan rutin senaman.

Sebaik mengikut jadual senaman secara konsisten, anda mungkin berasa lebih gembira dan berpuas hati.

Senaman adalah aktiviti paling berkesan untuk menurunkan berat badan. (Gambar Rawpixel)

Kajian menunjukkan senaman dan kepuasan kehidupan mempunyai kaitan iaitu orang yang lebih banyak melakukan senaman cenderung berasa gembira dengan diri serta kehidupan mereka.

Senaman juga meningkatkan hormon dopamin dan adrenalin iaitu bahan kimia di dalam otak yang berkaitan dengan rasa gembira dan yakin. Aktiviti fizikal juga berperanan mengurangkan keresahan dan stress.

2. Tugas kerja rumah jadi mudah

Kerja rumah turut menjadi mudah dan menunjukkan anda sihat. (Gambar Rawpixel)

Naik turun tangga mungkin amat memenatkan bagi sesetengah orang namun kini ia lebih mudah.

Ini adalah salah satu contoh kesan daripada rutin senaman yang anda lakukan apabila jantung menjadi lebih sihat manakala otot pula menjadi semakin kuat.

Tugas menjaga anak, mengemas rumah akan menjadi lebih mudah dan anda kurang merasa semput seperti sebelum ini.

Senaman menjadikan badan lebih bertenaga untuk meneruskan pelbagai aktiviti harian.

3. Kurang mengunyah makanan ringan

Anda lebih gemar makan makanan sihat juga petanda rutin kesihatan anda berjaya. (Gambar Rawpixel)

Adakah pemakanan anda lebih menyihatkan sejak memulakan rutin senaman?

Apabila kita mula senaman dan berasa lebih baik, ia adalah perkara biasa sekiranya anda menolak makanan ringan dan memilih makanan sihat.

Jika anda memilih sayur dan buah-buahan berbanding makanan ringan, ia adalah petanda baik bahawa rutin senaman anda berkesan kerana ia juga membantu mengubah cara berfikir ke arah lebih sihat.

4. Pakaian semakin longgar

Perubahan ketara pada pakaian adalah petunjuk yang jelas kesan positif dari rutin kesihatan yang baik. (Gambar Rawpixel)

Perkara paling mudah untuk membuat perbezaan sama ada terdapat perubahan atau sebaliknya, pastilah menerusi pakaian anda.

Adakah baju atau seluar yang dipakai sebelum ini terasa longgar? Ini ialah petanda positif terhadap rutin kesihatan anda.

Biarpun berat badan di atas penimbang tidak menunjukkan perubahan ketara namun pakaian boleh menjadi petunjuk yang jelas.

Ia juga mungkin kesan daripada pemakanan sihat yang diamalkan dan sekiranya anda lebih banyak minum air kosong berbanding minuman ringan serta yang diproses, ia sebenarnya mengurangkan masalah perut kembung.

5. Tidur lebih berkualiti

Tidur yang lena adalah petanda positif terhadap kesan rutin kesihatan anda. (Gambar Rawpixel)

Tidur lebih nyenyak berbanding biasa adalah petanda baik bahawa rutin kesihatan anda memberi kesan yang positif. Aktiviti fizikal membantu badan anda berfungsi lebih baik termasuk tidur secara teratur.

Jika anda dapati badan mendapat rehat yang cukup, tidur berkualiti, ia sebenarnya hasil daripada rutin senaman yang diamalkan.

Senaman juga penting untuk rehatkan semula badan kerana tidur adalah masa untuk badan melalui proses membaiki semula tisunya. Ia amat penting untuk tumbesaran otot dan prestasi rutin senaman anda.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.