
Sudah setahun, dunia dilanda pandemik Covid-19 tetapi lelaki ini langsung tidak tahu apa yang terjadi selama setahun ini.
Bukan itu saja, Joseph Flavill, 19 tahun juga tidak ingat yang dia juga pernah menjalani ujian Covid-19 dan disahkan positif.
Ini kerana Flavill telah koma sejak 1 Mac 2020, kerana kemalangan jalan raya. Dia dilanggar sebuah kereta semasa sedang berjalan sehingga mengakibatkan kecederaan pada otaknya.
Berikutan pandemik, sebahagian besar keluarga Flavill tidak dibenarkan untuk melawatnya.
Menurut Sally Flavill Smith, ibu saudara Flavill, dia kini berada di pusat pemulihan Adderley Green. Flavill dipindah ke situ setelah sedar dari Hospital Leicester, tempat dia terbaring koma sejak tahun lalu.
“Kami tidak tahu berapa banyak yang dia faham mengenai pandemik kerana dia seperti tertidur selama wabak ini berlaku.
“Bagaimana ingin menjelaskan mengenai pandemik kepada seseorang yang pernah koma?” tanya Smith.
Namun begitu, kata Smith, pihak keluarga akan menjelaskan mengenai Covid-19 kepada remaja itu perlahan-lahan.
Pada ketika ini, keluarga hanya melawat Flavill melalui panggilan video.
Namun begitu, pada Dis lalu dia dibenarkan mengunjungi ibunya Sharon Priestley, untuk meraikan ulang tahun ke-19 tetapi dia tetap perlu memakai pakaian perlindung (PPE) dan berada pada penjarakan sosial. Lawatan tersebut juga dibuat dalam waktu yang singkat.
“Walau masih jauh dari pulih sepenuhnya, tetapi perubahan positif yang ditunjukkan selama tiga minggu ini benar-benar luar biasa,” ujar Smith.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]