
Hari ini, kita semua hidup dalam normal baharu. Pemakaian “mask” atau pelitup muka menjadi kewajiban kepada semua untuk melindungi diri dan kesihatan dari virus korona.
Namun, terdapat beberapa kenyataan mengatakan memakai pelitup muka boleh menyebabkan mulut berbau atau infeksi.
Betul ke, pakai “mask” jadikan mulut berbau busuk?
Menurut dokter gigi Steven Barefoot dari DentaQuest, penyataan tersebut adalah tidak benar.
“Tidak ada bukti menunjukkan memakai “mask” boleh menyebabkan atau memperburuk penyakit gigi. Jika memakai “mask” benar-benar membawa masalah, doktor gigi dan pegawai kesihatan lain juga akan mengalami peningkatan penyakit gigi,” katanya.
Pendapatnya turut disokong oleh doktor gigi, Marianna Weiner dari Envy Smile Dental Spa di New York City. Dia membantah pendapat yang mengatakan memakai “mask” boleh menimbulkan risiko kesihatan gigi.
“Menghirup karbon monoksida yang kita keluarkan kembali ke paru-paru dan mulut bukanlah yang terbaik untuk gigi kita, tetapi memakai “mask” tidak menyebabkan mulut berbau,” jelasnya.
Sebenarnya pelitup muka mendorong kebiasaan kita dalam menjaga kebersihan mulut.
Bau mulut selalunya disebabkan oleh tiga perkara iaitu sisa makanan, bakteria dan kekeringan.
“Pelitup muka akan menangkap bau nafas yang kurang enak, jadi ia adalah sebagai peringatan yang baik tentang bau mulut,” ujar Barefoot.
Penyelesaiannya adalah dengan melakukan pembersihan mulut dan gigi yang tepat.
“Kebersihan mulut yang baik akan menghilangkan plak yang melekat pada gigi dan menyebabkan pengumpulan bakteria. Oleh itu, menggosok dan membersihkan gigi setiap hari akan membantu menjaga kesihatan mulut dan menghilangkan bau mulut,” katanya lagi.
Barefoot turut mencadangkan agar minum banyak air untuk mencegah potensi mulut kering dan membersihkan sisa makanan sepanjang hari.
“Racun yang dikeluarkan oleh bakteria dalam infeksi mulut juga menghasilkan bau.
“Jadi, apa pun jenis “mask” yang dipakai, setiap kali bila terbau sesuatu yang kurang enak dari nafas, berjumpalah dengan doktor gigi untuk mengetahui punca dan mengubatinya,” jelasnya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]