
Jika anak anda mengalami sakit tekak, kudis, kencing berdarah atau demam yang berpanjangan, berwaspadalah. Ini kerana mereka mungkin menghidapi glomerulonefritis akut atau ”acute glomerulonephritis” iaitu sejenis penyakit yang menyerang buah pinggang dan boleh membahayakan nyawa mereka.
Kenali penyakit ini untuk mengetahui apakah punca, gejala dan komplikasi yang dibawanya terhadap anak anda agar tidak panik apabila berhadapan dengannya.
Definasi
Glomerulonefritis akut (AGN) merupakan sejenis penyakit ginjal. Penyakit ini berlaku disebabkan oleh reaksi imun terhadap jangkitan kuman. Kebanyakan kanak-kanak yang mengalami penyakit ini akan menghidapi pelbagai infeksi seperti infeksi kulit (impetigo), sakit tekak atau infeksi virus selama satu hingga tiga minggu sebelum bermulanya masalah buah pinggang.
Gejala
AGN sering dialami oleh kanak-kanak yang telah bersekolah. Di peringkat awal, mereka akan mengalami demam, letih, lesu dan sakit kepala. Selepas satu hingga tiga minggu, pembengkakan di sekeliling mata akan berlaku selain daripada kencing berdarah.
Punca
Tindak balas terhadap infeksi kuman “Group A Haemolytic Streptococcus” menjadi faktor utama jangkitan AGN kepada kanak-kanak. Namun, lain-lain infeksi seperti virus juga boleh mengakibatkan AGN. Apabila infeksi tersebut menyerang buah pinggang, maka berlakulah inflamasi yang akan menyebabkan kekurangan air kencing, pembengkakan wajah, kencing berdarah dan hipertensi.
Diagnosa
Diagnosa akan dilakukan menerusi kajian air kencing dan kajian darah.
a) Air kencing
Apabila kanak-kanak dijangkiti AGN, air kencing mereka akan kelihatan kemerahan, kurang jernih dan berkeladak. Air kencing anak normal tidak akan mengandungi sel-sel darah merah. Oleh itu, pemeriksaan air kencing untuk sel-sel darah merah perlu dilakukan menerusi permintaan microscopy air kencing. Ketika proses ini, ketidak normalan pada air kencing akan dapat dikesan untuk mengetahui sama ada mereka telah dijangkiti AGN atau pun tidak.
b) Darah
Darah akan diambil untuk memastikan sama ada mereka benar-benar terkena infeksi kuman “Group A Haemolytic Streptococcus”. Ujian darah juga dilakukan untuk memastikan fungsi buah pinggang.
Komplikasi
Komplikasi penyakit ini terbahagi kepada dua iaitu komplikasi kekurangan air kencing dan komplikasi hipertensi. Buah pinggang kanak-kanak tidak dapat mengeluarkan asid, urea dan kalium badan yang mencukupi apabila air kencing mereka berkurangan.
Keadaan tersebut akan mengancam metabolisma . Peningkatan urea akan menyebabkan mereka mengalami muntah-muntah, keletihan dan ada kalanya pendarahan.
Sedangkan kelebihan asid di dalam badan boleh mengganggu pernafasan manakala kalium yang berlebihan akan mengakibatkan aritmia jantung.
Komplikasi hipertensi lebih serius berbanding komplikasi kekurangan air kencing kerana ia boleh menyebabkan kegagalan jantung dan sawan.
Dalam kondisi yang serius, anak anda mungkin akan koma jika rawatan tidak dilakukan.
Rawatan
Ubat antibiotic penisilin akan diberikan sebanyak empat kali sehari dalam usaha untuk menghapuskan bakteria ”Group A Haemolytic Streptococcus”. Kawalan cecair terhadap kanak-kanak juga akan dilakukan untuk memastikan mereka tidak minum berlebihan semasa sakit.
Carta minuman dan pembuangan air kecil amat mustahak untuk memastikan tiada cecair yang berlebihan.
Begitu juga dengan kawalan hipertensi menerusi pemberian ubat-ubat rawatan hipertensi seperti prazosin, frusemide (lasix) dan nifedipine bagi mengurangkan pembengkakan dan menurunkan tekanan darah.
Pengawasan terhadap tekanan darah akan dilakukan empat jam sekali. Walau bagaimanapun tidak semua kanak-kanak AGN akan mengalami hipertensi dan jika tekanan darah menjadi tinggi, ia harus dimaklumkan kepada doktor dengan segera.
Anak-anak ini tidak dibenarkan untuk bergerak dan harus berehat di katil sahaja sewaktu mengalami hipertensi. Badan mereka juga akan ditimbang setiap hari bagi memantau pembengkakan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]