
Lupakan dulu hal kadar tempat letak kereta yang membunuh itu, kerana satu daripada menara pencakar di sana adalah Wisma E&C. Di sini tersembunyi satu rahsia yang agak mengejutkan.
Di satu sudut lobi bangunan tersebut tersembunyi sebuah kafe kecil dikenali sebagai Liberal Latte, tetapi jangan salah sangka kerana ia bukan sekadar kedai kopi biasa seperti ribuan di luar sana.
Liberal Latte bukan hanya sebuah kedai kopi, tetapi juga kedai buku yang digabungkan dengan elemen seni dan budaya.

Layak digelar tiga-dalam-satu, namun itu belum lagi termasuk sebuah ruang makan peribadi mewah yang tersembunyi di bahagian belakang kafe yang akan kita kongsikan sebentar lagi.
Bukan sesuatu yang mengejutkan jika dikatakan ketika pra-pandemik, Liberal Latte menjadi tempat tumpuan pelbagai kumpulan termasuk NGO, pengarang, artis dan juga peminat permainan papan.
Dalam pada negara menuju pemulihan, pengasas Liberal Latte, Dr Ahmad Azhar yang juga graduan dari Oxford ini berharap Liberal Latte akan terus berkhidmat kepada masyarakat sebagai destinasi serbaguna.
“Liberal Latte adalah kafe tetapi apa yang lebih membanggakan kami adalah ia juga berperanan sebagai pusat komuniti dan ruang acara,” kata Ahmad.

Kafe yang dibuka lima tahun lalu itu muncul hasil tabiat Ahmad yang cukup menggilai kopi dan impiannya untuk memiliki kedai kopi sendiri.
Lama kelamaan, Liberal Latte mula berkembang dari segi ruang dan tujuan fizikalnya.
“Kami pada mulanya menjual kopi, kemudian ia beralih menjadi ruang berhimpun kumpulan dan masyarakat yang berfikiran sealiran,” ujar Ahmad lagi.
Sepanjang kewujudannya, Liberal Latte mula berkolaborasi dengan kedai buku bebas, berfungsi sebagai cabang satelit bagi penulis muda yang bercita-cita tinggi untuk menjual karya mereka.
“Kami juga sering bekerjasama dengan komuniti seni,” tambah Ahmad.
“Kami juga pernah mempunyai seorang seniman tetap di ruang kerja di sini untuk menghasilkan seninya.”

Ruang acara awam di sini boleh disewa dengan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan oleh Liberal Latte.
Bukan hanya seniman dan pemuzik yang sering melazimi Liberal Latte, malah para penggemar kopi turut dialu-alukan ke sini.
“Sekiranya anda seorang pecinta kopi, katakanlah, seorang profesional pada siangnya, tetapi ingin menunjukkan skil barista pada waktu malam, anda boleh datang dan kami dengan tangan terbuka akan menjadi tuan rumah,” kata Ahmad.
Masih ingat dengan ruang makan peribadi tadi? Itu adalah penampilan terbaru Liberal Latte yang menawarkan peluang kepada chef yang bercita-cita tinggi untuk menganjurkan acara, sama seperti bar kopi di luar.

Kawasan yang dipanggil Tigabatu itu, kini menjadi tuan rumah kepada chef muda Fahmi Samsudin, yang akan menyajikan hidangan tradisional Melayu dari Negeri Sembilan.
Walau bagaimanapun, untuk menikmati makanan istimewa ini, anda perlu mengatur tempahan anda terlebih dahulu kerana acara makan tertutup ini tidak dibuka kepada orang ramai.
Lebih menarik lagi, Tigabatu menggunakan konsep Omakase, bahasa Jepun yang membawa maksud, “Saya menyerahkannya kepada anda.”
Ini bermaksud tiada menu tetap yang akan dipilih pelanggan, dan chef akan memasak apa sahaja yang mereka inginkan bersesuaian dengan harga yang mereka bayar.

FMT turut diberi kesempatan untuk merasai sendiri beberapa makanan yang disajikan oleh Fahmi, yang menurut Ahmad adalah contoh hidangan kontemporari Melayu.
“Tidak ada makanan di sini yang disajikan dengan MSG atau sebarang bentuk bahan pengawet,” kata Ahmad dengan bangga.
Sebahagian besar hidangan yang disajikan mendapat inspirasi dari masakan Negeri Sembilan, yang jarang ditemui di luar dari negeri asalnya.
Kerang dengan Air Asam, misalnya jarang ditemui, di mana ia dikukus dan dimakan dengan sos masam dan pedas.
Rendang Itik sudah semestinya menjadi kemuncak hidangan, di mana rendang kegemaran Malaysia itu, dimasak dengan itik dan bukan ayam atau daging lembu seperti lazimnya.

“Rendang ini perlu lima jam untuk dimasak,” jelas Ahmad.
“Santan memakan masa yang lama untuk kering dan benar-benar mesra dengan daging itik.”
Seterusnya adalah Asam Pedas ikan Jenahak, terdiri daripada ikan kakap yang dimasak dengan kuah pedas dan cukup menusuk.
Kenikmatan maksimum dapat dirasa dengan menggaulkan nasi bersama kuah yang enak sebelum mengambil sesudu nasi untuk dimakan bersama potongan ikan.
Chef Fahmi juga bersedia menghidangkan hirisan Black Angus Beef, hidangan Barat yang disuntik citarasa tempatan kerana direbus dengan rempah-ratus asli.

Kuahnya juga adalah produk Negeri Sembilan, di mana masak lemak cili api itu menjadikan daging terasa lemak serta pedas.
Pencinta makanan laut juga turut dihargai dengan hidangan Udang Masak Lemak, bukti chef berpengalaman kuliner hebat, selain hidangan Terung Pipit agak pedas bagi mereka yang tidak bersedia.
Salmon Pan-Fried juga tidak kurang enaknya, kerana ia disaji dengan puri peria tempatan dan sos karamel nenas.
Gabungan manis, masam dan pahit cukup menjadi untuk ikan, dan tidak hairanlah cepat benar pinggan licin dijilat.

Sebagai penutup tirai kepada hidangan makan malam, chef Fahmi menghidangkan kek cempedak lembap, dengan curahan sos manis yang semestinya tidak cukup sepotong.
Keluarga Ahmad yang berasal dari suku Tigabatu di Negeri Sembilan, berkata ini adalah cara dia memelihara makanan warisan keluarganya dan masyarakat.
“Saya dibesarkan oleh nenek sejak dilahirkan. Saya bermain-main di dapur dan inilah yang saya makan setiap hari,” kata Ahmad.
Maka tidak hairanlah, makanan yang disajikan di Tigabatu adalah bingkisan kenangan citarasa masa lalu itu.
Oleh itu, sama ada anda ingin menjual buku pertama, atau hanya minum secawan kopi, atau menikmati makanan mewah secara tersembunyi, Liberal Latte adalah tempat untuk anda kunjungi.
Latte Liberal
Wisma E&C,
2, Lorong Dungun Kiri,
Bukit Damansara,
50490 Kuala Lumpur,
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Waktu operasi: 9 pagi hingga 6 petang pada hari bekerja (ditutup pada hujung minggu)
Sesi makan tengah hari dan makan malam di Tigabatu hanya disediakan melalui tempahan.
Hubungi: 016-673 6137 (Nur)