Hutan bawah laut kian menghijau di Mediterranean

Hutan bawah laut kian menghijau di Mediterranean

Setiap arca diperbuat daripada bahan neutral pH yang menarik hidupan laut dan ditempatkan pada kedalaman yang berbeza.

Paparan yang membangkitkan perasaan itu menyelami hubungan antara manusia dan alam.

Artis disebalik kejayaan taman arca bawah laut yang pertama di dunia, Jason deClaire Taylor ternyata tidak pernah selesai dengan karyanya.

Selepas kejayaan Muzium Arca Bawah Laut di Cyprus (Musan), kini beliau berkongsi satu lagi projek sub-akuatik mengkagumkan iaitu hutan bawah laut di pesisir pantai Pernera di Ayi Napa, Cyprus.

Karyanya kali ini menyasarkan untuk ‘meliarkan kembali ruang semulajadi’ dan ‘menghijaukan semula habitat yang tandus’ yang sekaligus meneroka hubungan antara manusia dan alam.

Beberapa arca yang dipaparkan termasuk pokok-pokok besar seberat 13 tan serta kanak-kanak sedang menghala kamera ke arah arca, yang menggambarkan umat manusia.

Setiap arca yang diturunkan ke bawah laut menggunakan kren, diperbuat daripada bahan neutral pH yang menarik hidupan laut dan ditempatkan pada kedalaman yang berbeza, supaya keanekaragaman hayat kawasan tersebut dapat ‘diperkaya’ oleh kehadirannya dari semasa ke semasa .

“Ia direka untuk membiarkan hidupan marin membina habitat pada arca tersebut. Selepas lima atau enam hari, saya sudah dapat melihat pembentukan alga nipis di setiap kepala patung, yang memerlukan habitat yang cukup kompleks, dan ia kini penuh dengan ikan-ikan kecil.

“Jadi ia sangat menggembirakan. Saya benar-benar tidak sabar untuk kembali beberapa bulan lagi dan melihat bagaimana ia bergabung dengan hidupan laut,” jelas Taylor.

Taylor menghabiskan dua hingga tiga tahun untuk menyiapkan projek di Musan, yang sepatutnya dibuka tahun lalu, namun terpaksa ditangguhkan kerana wabak Covid-19.

“Saya yakin ia akan mendekatkan orang ramai dengan persekitaran dan pemuliharaan serta perlindungan ekosistem laut kita,” katanya lagi.

Kunjungan ke muzium tersebut boleh ditempah melalui pusat menyelam tempatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.