Jom hidangkan cucur di petang PKP ini

Jom hidangkan cucur di petang PKP ini

Lebih ringkas bahan yang digunakan, lebih enak cucur yang dihasilkan.

Cucur manis enak dihidang bersama teh atau kopi panas. (Gambar Hijab and Heels)

Cucur merupakan snek yang cukup versatil. Senang dibuat, dan tidak memerlukan bahan yang banyak untuk disediakan. Sebaliknya, lebih ringkas bahan yang digunakan, lebih enak cucur yang dihasilkan.

Dalam keadaan kita sedang melalui Sekatan Pergerakan Penuh, apa kata kita sediakan cucur sebagai hidangan petang untuk keluarga.

Terdapat pelbagai jenis cucur yang boleh disediakan seperti cucur ikan bilis, cucur bawang, cucur udang, cucur jagung, cucur sayur, cucur badak dan pelbagai jenis cucur yang begitu menyelerakan.

Tetapi sebelum itu apa kata anda pelajari dulu beberapa tip menyediakan cucur yang gebu dan enak.

Tip 1: Guna tepung beras

Lazimnya, kita menyediakan cucur menggunakan tepung gandum kerana hasilnya lebih lembut. Tapi kalau anda mahu kulit luar cucur lebih rangup, campurkan 1 cawan tepung beras untuk dua cawan tepung gandum.

Tip 2: Serbuk penaik untuk cucur gebu

Nak cucur yang lebih gebu dan ringan? Tambah kira-kira 1/2 sudu teh serbuk penaik ke dalam adunan cucur.

Tip 3: Penambah rasa

Kalau mahu cucur anda lebih berperisa dan tidak begitu kosong, masukkan sedikit serbuk stok ayam atau sayuran untuk rasa yang lebih lemak.

Dengan tiga tip mudah ini, pastinya cucur anda akan menjadi lebih enak selepas ini.

Sudah tahu tip, jom kita cuba resepi cucur manis ini pula.

Cucur Manis

Bahan-bahan:

  • 3 cawan tepung gandum
  • 3 cawan air panas (air mendidih)
  • 1/2 cawan susu pekat manis
  • Secubit garam

Cara membuatnya:

  1. Satukan tepung bersama garam dan susu pekat manis.
  2. Tuangkan air panas sedikit demi sedikit dan kacau dengan sudu hingga adunan menjadi doh yang pekat dan melekat-lekat di tangan.
  3. Biarkan doh sejuk.
  4. Panaskan minyak. Pastikan minyak benar-benar panas dengan api sederhana. Jika minyak panas ia akan cantik kembongnya dan tidak menyerap banyak minyak.
  5. Senantiasa balik-balikkan cucur dalam kuali supaya cantik bulatnya.
  6. Bila sudah kuning keemasan bolehlah diangkat.
  7. Lapikkan dengan tisu dapur supaya minyak meresap pada tisu.
  8. Sedia untuk dinikmati.

Cara membuat doh

Ada dua kaedah untuk membentuk doh bulat-bulat

  • Basahkan tangan dengan air. Ambil sedikit adunan sebesar guli, bulat-bulatkan dan terus masukkan dalam kuali.
  • Basahkan tangan dengan minyak masak. Kaedah yang sama juga ambil sedikit adunan dan bentukkan bulat, kemudian masukkan dalam minyak panas. (Kaedah ini adalah untuk mereka yang takut minyak merecik bila menggunakan air)

Selamat mencuba!

Artikel ini telah disiarkan di butterkicap.com Butterkicap adalah platfom dan komuniti yang menceritakan tentang makanan dan kebudayaan di Malaysia.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.