Bandar purba terbesar di Mesir ditemui

Bandar purba terbesar di Mesir ditemui

Pasukan arkeologi itu turut menemui kedai roti besar lengkap dengan ketuhar dan tempat menyimpan tembikar di mana saiznya digunakan untuk menyediakan makanan kepada sejumlah besar pekerja.

Bandar Hilang yang ditemui di tebing barat di Luxor.

Sekumpulan pakar arkeologi berjaya menemui sebuah bandar purba terbesar yang pernah dijumpai di Mesir berusia kira-kira 3,000 tahun.

Bandar dikenali sebagai ‘The Rise of Aten’ itu ditemui di tebing barat di Luxor, kata ketua arkeologi, Dr Zahi Hawass dalam satu kenyataannya.

Menurutnya, bandar terbabit berasal dari pemerintahan Raja Amenhotep III yang memerintah Mesir antara 1391 dan 1353 Sebelum Masihi.

“Ia adalah pentadbiran terbesar dan penempatan industri dalam era empayar Mesir,” kata Zahi.

Mereka menemui dinding setinggi tiga meter yang masih teguh berdiri selain ruang bilik bersama pelbagai barangan digunakan untuk aktiviti seharian yang ditinggalkan dari zaman purba terbabit.

Antara barangan yang ditemui ialah cincin, bekas tanah liat berwarna, adunan acuan untuk membuat azimat, periuk digunakan untuk membawa daging, alat untuk memintal dan menenun serta alat pembuat logam dan kaca.

Pasukan arkeologi itu turut menemui kedai roti besar yang lengkap dengan ketuhar dan tempat penyimpanan tembikar di mana saiznya digunakan untuk menyediakan makanan kepada sejumlah besar pekerja.

Selain itu, beberapa penemuan lain termasuk rangka manusia yang ditanam dalam keadaan tangannya direntangkan ke sisi dan tali melilit lututnya.

“Lokasi dan kedudukan rangka ini agak pelik dan kita masih menjalankan siasatan lagi,” kata Zahi.

Manakala seorang professor bidang Mesirologi di Universiti John Hopkins, Betsy Bryan berkata, penemuan bandar itu adalah kedua terpenting dalam penemuan arkeologi sejak makam Tutankhamun.

Pasukan itu menemui tulisan bertarikh 1337 Sebelum Masihi yang mengesahkan bandar itu aktif ketika pemerintahan anak lelaki Amenhotep III, Akhenaten.

Pakar sejarah pula percaya setahun selepas periuk tembikar dihasilkan, bandar itu ditinggalkan dan Amarna menjadi ibu kota baru yang terletak kira-kira 402 kilometer ke utara namun puncanya tidak diketahui.

“Penemuan Bandar Hilang ini bukan saja memberi sedikit gambaran terhadap kehidupan Mesir Purba tetapi juga ketika Empayar masih memiliki kekayaan selain membantu kita menjelaskan salah satu misteri terbesar dalam sejarah iaitu mengapa Akhenaten dan Nefertiti berpindah ke Amarna,” kata Bryan.

Penggalian yang bermula sejak September 2020 itu merungkai di kawasan paling selatan bandar terbabit dan mereka masih belum melakukan penggalian di wilayah utara.

Makam dan kubur besar yang hampir sama di Valley of Kings (Lembah Raja) turut ditemui tetapi belum diterokai.

“Penggalian lebih mendalam di kawasan itu akan merungkai apa yang sebenarnya berlaku kira-kira 3,500 tahun lalu,” kata Zahi.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.