Mesir adakan perarakan bawa 22 mumia ke muzium baru

Mesir adakan perarakan bawa 22 mumia ke muzium baru

Mumia Ramses II, dan Permaisuri Hatshepsut antara yang dibawa dalam perarakan gala.

Perarakan gala yang meriah di Mesir untuk mempamerkan khazah berharga mereka. (Gambar AP)

Suasana di Mesir bertukar meriah pada malam minggu lalu apabila satu perarakan gala diadakan untuk meraikan pemindahan 22 mumia diraja ke tempat persemadian baru.

Majlis terbabit bertujuan mempamerkan kekayaan khazanah warisan mereka sambil menyusuri sepanjang Sungai Nil dari Muzium Mesir dan melewati Dataran Tahrir ke Muzium Peradaban Mesir yang baru dibuka di Fustat.

Semua mumia berkenaan dibawa dalam bekas yang dilengkapi kawalan suhu sebelum ditempatkan di atas trak dihiasi dengan sayap dan corak firaun dan menempuh perjalanan satu jam ke muzium terbabit.

Kenderaan itu direka khas supaya kelihatan seperti perahu zaman purba yang pernah membawa mayat firaun ke makam mereka.

Kebanyakan mumia itu adalah dari kerajaan New Kingdom yang memerintah Mesir antara 1539 hingga 1075 Sebelum Masihi, kata Kementerian Antikuiti.

Ia termasuk firaun terkenal, Ramses II, dan Permaisuri Hatshepsut, satu-satunya firaun wanita Mesir yang terpaksa memakai janggut palsu untuk mengatasi tradisi bahawa wanita hanya memainkan peranan kedua dalam hierarki diraja.

Mumia terdiri 18 firaun dan empat anggota diraja pada asalnya dikebumi sekitar 3,000 tahun lalu di makam rahsia di Lembah Diraja dan berhampiran tapak Deir el-Bahri.

Kedua-dua lokasi itu adalah berhampiran selatan bandar Luxor dan kali pertama makam itu digali pada kurun ke-19.

Selepas penggalian semula itu, semua mumia terbabit dibawa ke Kaherah menaiki bot melalui Sungai Nil dan ada di antaranya dipamerkan menerusi bekas kaca manakala selebihnya dalam bekas tertutup.

Mumia Ramses II dibawa ke Paris pada 1976 untuk proses baik pulih oleh saintis di sana.

Perarakan yang diadakan untuk siaran televisyen itu adalah usaha kerajaan Mesir untuk menarik minat pelancong dengan mempamerkan artifak berharga itu.

Industri pelancongan Mesir selama ini berdepan pelbagai cabaran bermula ketika penggulingan Hosni Mubarak pada 2011 dan terkini akibat pandemik Covid-19.

“Perarakan ini adalah acara global yang tidak akan diulang lagi,” ujar Menteri Pelancongan dan Antikuiti, Khaled el-Anany.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.