Menjejak keunikan seni bina masjid di Melaka

Menjejak keunikan seni bina masjid di Melaka

Seni bina masjid di Melaka mempunyai pengaruh pertukangan Cina hasil pertembungan budaya satu ketika dulu.

Seni bina Masjid Kampung Hulu berbentuk pagoda yang jelas mempamerkan hasil pengaruh seni bina Cina. (Gambar Bernama)

Melaka adalah negeri yang kaya dengan pelbagai khazanah dan sejarah termasuk keunikan pada seni bina masjidnya.

Jika pernah berkunjung ke negeri ini, anda pastinya terpegun melihat kelainan pada binaan itu yang masih gah berdiri sehingga ke hari ini.

Dulu, pembinaan kubah berbentuk separuh sfera tidak digunakan dalam asas pembinaan masjid di negeri ini tetapi digantikan dengan asas bumbung bertingkat tiga yang lebih dikenali sebagai bumbung meru.

Manakala menara berbentuk pagoda pula mempamerkan hasil pengaruh seni bina Cina.

Melaka yang gah sebagai pusat perdagangan antarabangsa pada sekitar abad ke-15 menjadi tumpuan pedagang dari timur dan barat termasuk dari negara China.

Berikutan itu, pertembungan budaya antara masyarakat Melayu dan Cina turut menghasilkan satu seni bina yang menarik termasuk dalam bidang pertukangan dan pembinaan bangunan serta rumah ibadat atau masjid untuk penganut agama Islam.

Simbolik tapak masjid yang membawa maksud sebagai syariat, bumbung pertama sebagai tarekat, bumbung kedua sebagai hakikat dan bumbung ketiga sebagai makrifat. (Gambar Bernama)

Antara masjid yang sering dijadikan rujukan untuk pembinaan rumah ibadat umat Islam di Melaka ialah Masjid Kampung Hulu, Masjid Tengkera dan juga Masjid Kampung Keling, antara masjid tertua di negeri berkenaan.

Persamaan yang ada daripada sudut seni bina pada ketiga-tiga masjid berkenaan mengukuhkan lagi fakta bahawa sememangnya wujud pengaruh pertukangan masyarakat Cina yang datang berdagang ke Melaka ratusan tahun lalu dalam asas pembinaan masjid.

Menariknya, pembinaan masjid ini juga menggunakan jubin seramik dan jubin lantai dari kerajaan China Dinasti Ching dan dengan menggunakan faktor alam semula jadi dalam ukiran seperti yang ada di Masjid Kampung Hulu.

Imam dua Masjid Kampung Hulu, Zawawi Md Hanafi, 47, berkata, setiap lapisan bumbung dan struktur binaan Masjid Kampung Hulu yang berusia kira-kira 300 tahun membawa maksudnya yang tersendiri.

Tapak masjid membawa maksud syariat, bumbung pertama sebagai tarekat, bumbung kedua sebagai hakikat dan bumbung ketiga sebagai makrifat.

Mahkota puncak masjid sebagai tingkat paling atas pula ialah unsur simbolik penghubung antara masjid dan alam sejagat dengan tuhan penciptaNya.

“Setiap struktur binaan pintu ke ruang solat pula bermaksud lima rukun Islam manakala enam jendela masjid membawa maksud enam rukun iman dan satu mimbar memberi maksud Tuhan Yang Satu,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, Zawawi berkata, antara kelainan yang ada pada masjid ialah reka bentuk segi empat sama sebagai tapak, atap bumbung meru tiga tingkat serta empat batang tiang seri utama sebagai sokongan untuk puncak mahkota di atasnya.

Masjid Kampung Hulu yang berusia kira-kira 300. (Gambar Bernama)

Masjid berkenaan dibina dengan menggunakan kayu berkualiti tinggi dan bumbungnya dihadapkan ke arah kiblat manakala di bahagian belakang pula dibina sebuah kolah sebagai tempat mengambil wuduk.

“Bahan binaan untuk mahkota puncak Masjid Kampung Hulu dan juga sulur bayurnya dikatakan diperbuat daripada seramik. Ia amat menarik apabila bahan itu terbukti mampu bertahan selama ratusan tahun dan masih teguh berada di kedudukannya sehingga hari ini.

“Kebanyakan bahan binaan yang digunakan dalam pembinaan Masjid Kampung Hulu ialah penggunaan bahan asal seperti kayu berkualiti tinggi, mahkota yang diperbuat daripada kulit kerang dan siput, lantai terracotta dan banyak lagi bahan yang kini sukar untuk diperoleh bagi tujuan baik pulih,” katanya.

Bagaimanapun, Zawawi berkata, agak sukar untuk menjaga dan mengekalkan masjid tersebut kerana perbelanjaan untuk baik pulih serta penambahbaikan menelan kos yang tinggi.

“Kita terpaksa merujuk kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) sebelum membuat sebarang keputusan mengenai proses baik pulih masjid ini,” katanya.

Sementara itu, Penolong Kurator Perzim Fairus Mamat berkata, Kerajaan Persekutuan mewartakan tujuh buah masjid di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Masjid-masjid itu adalah Masjid Kampung Hulu (Kota Melaka), Masjid Tengkera (Tengkera), Masjid Kampung Keling (Bandar Melaka), Masjid Lama Machap (Alor Gajah), Masjid Serkam Pantai (Merlimau), Masjid An Nur (Bukit Peringgit) dan Masjid Laksamana Hang Tuah (Duyong).

Katanya, selain itu terdapat 56 buah masjid lain diwartakan sebagai masjid warisan dan dilindungi di bawah Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan Budaya Negeri Melaka.

Kebanyakan reka bentuk masjid warisan berkenaan adalah sama antara satu sama lain, dan sekurang-kurangnya berusia lebih 50 tahun.

Pertembungan budaya antara masyarakat Melayu dan Cina telah menghasilkan satu seni bina yang menarik termasuk dalam bidang pertukangan dan pembinaan bangunan. (Gambar Bernama)

“Perzim sentiasa berusaha untuk memulihara masjid warisan menggunakan teknologi pemilihan bahan berkualiti hampir sama dengan bahan asal agar keaslian rupa bentuknya dapat dikekalkan untuk tatapan generasi masa hadapan.

“Bagaimanapun, bagi masjid yang berada di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005, Perzim sering menjalankan pemantauan yang ketat agar keadaannya terjaga dari semasa ke semasa,” katanya.

Menurut Fairus, seiring perkembangan dakwah Islam yang semakin meluas, terdapat beberapa pihak yang mempersoalkan seni bina masjid warisan berkenaan.

Atas desakan ramai, kebanyakan masjid baru terpaksa dibina tanpa berpandukan tradisi lama.

Katanya, seni bina lama termasuk ukiran juga tidak dapat diteruskan kerana kekurangan tenaga mahir orang lama, memandangkan ia memerlukan penelitian yang tinggi.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.