Pizza coklat dijual di Britain

Pizza coklat dijual di Britain

Pizza coklat itu turut dihiasi keju krim dan cip coklat sempena Hari Easter.

Pizza coklat yang dijual pada harga £2.89 (RM16.50). (Gambar New Foods UK)

Siapa yang tidak suka coklat dan pelbagai manisan lain! Ramai daripada kita mungkin sukar untuk menolak sekiranya snek seperti ini terhidang di depan mata.

Tidak kira bagaimana cara penyediaan atau inovasi makanan pencuci mulut itu, ia pasti dapat ‘memancing’ sesiapa saja termasuk mereka yang memberi 1,001 alasan kononnya untuk menjaga badan.

Sebuah pasaraya di Britain, Morrisons juga dikatakan cuba melakukan sesuatu di luar kotak untuk menarik peminat manisan dengan mencipta pizza diperbuat daripada pencuci mulut sempena sambutan Hari Easter.

Pizza yang dijual pada harga £2.89 (RM16.50) itu dihiasi dengan keju krim bersama cip coklat, doh biskut, ‘telur mini’ sebagai ganti kepada telur Hari Easter.

Makanan itu yang dijual di seluruh negara tidak mempunyai hiasan tradisional pizza seperti keju mozarella dan tomato, sebaliknya dipenuhi dengan pelbagai snek dan manisan khusus dinikmati oleh penggemarnya.

Sekeping gambar pizza yang dikongsi di Instagram oleh akaun viral, newfoodsuk terus mendapat lebih 10,000 like oleh pengguna.

Kebanyakan peminat begitu teruja dengan inovasi itu namun ada juga yang sukar untuk menerimanya selain menganggap ia ‘menggelikan’.

Namun, pengguna yang teruja dengan keluaran terbaru itu memberitahu mereka tidak sabar untuk mendapatkannya di pasaraya terbabit.

Seorang pengguna Instagram yang sudah mencubanya berkata pizza itu begitu sedap dengan rasa coklat yang cair dan ia menjadi makanan kegemaran terbarunya.

Selain pizza, beberapa makanan popular lain yang baru dijual di pasaran termasuk Cheeseter egg iaitu ‘telur’ diperbuat daripada keju manakala syarikat pengeluar kaviar, Petrossian mengeluarkan telur kaviar dengan harga £230 (RM1,314).

Manakala jenama teh di United Kingdom, mengeluarkan konfeksi Hari Easter dalam bentuk teko teh diperbuat daripada coklat dan ia adalah stok terhad.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.