Muzium Ilusi Zagreb terus berkembang jadi tarikan pelancong

Muzium Ilusi Zagreb terus berkembang jadi tarikan pelancong

Muzium Ilusi Zagreb mempunyai 30 francais di seluruh dunia.

Pelancong berdiri di hadapan cermin di Muzium Ilusi, Zagreb.
ZAGREB:
Muzium Ilusi di Zagreb yang berkembang sebagai rangkaian muzium persendirian di dunia terus menjadi tarikan pelancong yang mencari pengalaman visual ilusi dan pendidikan.

Muzium terbabit mempamerkan pelbagai ilusi optik menakjubkan yang memukau sesiapa saja termasuk air mengalir dengan graviti terbalik, labirin cermin atau memanjat siling.

“Ilusi yang dipamerkan sangat menghiburkan dan mengingatkan kita bahawa kadangkala persepsi terhadap dunia hanyalah persepsi semata-mata,” kata pengurusan muzium.

Muzium Ilusi dibuka pada 2015 iaitu dua tahun selepas melakukan persiapan dengan mengambil inspirasi daripada rancangan televisyen, ‘Brain Games’ yang ditayangkan di saluran National Geographic.

“Ia adalah idea berkenaan menerokai minda manusia dalam cara berbeza,” kata pengasas dan pemilik muzium terbabit, Roko Zivkovic.

Muzium itu kini menjadi salah satu lokasi paling popular dilawati di ibu kota Croatia selain membuka banyak francais di luar negara berikutan ramai pelancong luar yang berminat untuk mengunjunginya.

“Dalam tempoh hampir enam tahun, kita menjadi sebagai rangkaian muzium terbesar di dunia dengan kehadiran di 30 lokasi,” kata Zivkovic.

Lokasi itu termasuk Paris, New York, Dubai, Toronto, Vienna dan Shanghai.

“Walaupun dalam tempoh pandemik, kita berupaya membuka lapan muzium di tempat lain,” katanya.

Operasi muzium berkenaan tidak terjejas sepenuhnya walaupun dunia dilanda pandemik Covid-19.

“Kini di Zagreb, kita boleh menerima 20 hingga 30 pelawat pada satu-satu masa dan ia terpulang kepada kawalan ketat. Bilangan pelawat berkurangan memandangkan pelancong dan kumpulan pelajar sekolah tidak datang seperti sebelum ini,” kata Zivkovic.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.