
“Pengalaman paling tidak dapat dilupakan!”
Itulah kata Alice van Den Ham, 44, yang berasal dari Amersfoort, Belanda tentang lawatannya ke rumah panjang tradisional Bidayuh setahun yang lepas.
Alice, berada di Sarawak untuk percutian selama seminggu bersama suaminya Jack Homann, 48, dan dua anak perempuannya Stijn dan Emma masing-masing berusia 15 dan 11 tahun sebelum berkuatkuasanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara pada Mac lepas.
Rumah panjang Annah Rais di Padawan, yang terletak kira-kira 100 kilometer dari Kuching adalah antara tempat yang dikunjungi keluarga ini.
Mereka turut melawat beberapa lagi tempat menarik di bandar Kuching dan sekitarnya seperti Taman Negara Bako, Kampung Budaya Sarawak dan Taman Hidupan Liar Semenggok, tetapi mendapati lawatan mereka ke rumah panjang Annah Rais antara yang paling menarik dan meninggalkan kenangan manis.
BERUSIA LEBIH 100 TAHUN
Rumah panjang Annah Rais, terletak di sebuah penempatan Bidayuh di kaki bukit tanah tinggi berhampiran banjaran Borneo. Ia diperbuat daripada buluh dan berusia lebih 100 tahun, merupakan antara rumah panjang terbaik yang masih terdapat di Sarawak.
Menurut Alice dia dan suami amat kagum melihat keunikan rumah panjang berkenaan dan cara hidup penghuninya.
“Kedatangan kami disambut meriah dengan hidangan minuman tuak yang rasanya seakan-akan wain merah. Kami benar-benar menyukai suasana di sana,” katanya.
Mereka juga membeli dua botol tuak untuk dinikmati semasa berehat di Ma’asa Jungle Homestay di Kampung Semadang, Padawan, ketika menginap di situ selama tiga malam.
“Orang Bidayuh adalah tuan rumah yang baik budi dan kampung mereka adalah tempat yang sempurna untuk mempelajari budaya dan cara hidup mereka yang menarik itu,” tambahnya lagi.
Di rumah panjang itu, mereka sekeluarga dibawa melawat panggah, iaitu rumah Bidayuh yang menempat dan mempamerkan tengkorak musuh mereka yang ditangkap semasa era pemburuan kepala manusia.
Mereka turut dibawa untuk merasai air panas Annah Rais yang terkenal.
BERKAYAK
Keluarga dari Belanda ini juga melawat Bau, yang terletak kira-kira 35 kilometer dari Kuching, dan melakukan aktiviti berkayak di Sungai Semadang, anak sungai kepada Sungai Sarawak.
“Berkayak juga memberi pengalaman amat bagus. Kami benar-benar suka dengan suasana yang indah di sepanjang sungai berkenaan, yang mengekalkan keaslian semulajadinya,” kata Alice, yang juga pengurus sebuah bank.
Kami juga dibawa berjumpa “Ring Lady” (wanita yang memakai gelang tembaga) dari Kampung Semban dan belajar bagaimana untuk melakukan tarian tradisional Bidayuh.
Hanya tinggal beberapa wanita Bidayuh masih mengamalkan tradisi memakai gelang tembaga di lengan dan kaki mereka, yang menjadi sebahagian daripada pakaian harian mereka. Gelang tersebut dipakai sejak dari kecil lagi.
“Pengalaman tinggal di inap desa juga sesuatu yang baru dan sebenarnya kami tidak tahu apa yang dijangkakan.
“Namun, ini sangat mengejutkan dan boleh dikatakan, kami melihat Sarawak yang sebenar-benarnya dengan cara ini. Senang melihat bagaimana orang tinggal di sana,” kata Alice dan menambah bahawa dia dan keluarganya juga sukakan makanan laut tempatan dan pelbagai makanan lain seperti sate.
Homann, yang juga jurutera IT, berkata beliau dan isteri akan pasti mempromosi Sarawak kepada saudara mara dan rakan-rakan mereka di negaranya termasuk mencadangkan lawatan ke rumah panjang.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]