
Resipi mi goreng yang diusahanya masih mengekalkan tradisi 80 tahun ketika pertama kali diniagakan ayahnya pada 1945, dengan sejarah di sebaliknya juga tidak kurang menarik.
Lebih ‘tua’ dari usia kemerdekaan Malaysia, mi goreng resipi ayahnya itu dijual ketika Jepun masih menjajah di Pulau Pinang dan menjamahnya tidak ubah seperti merasakan sedikit sejarah kaya negeri itu.

Bermula dengan hanya menjaja dari gerai di Lorong Bangkok, ayah Mahboobin Zakaria meniaga mi gorengnya sehingga dihalau penjajah British ketika itu yang menyebabkan dia terpaksa berpindah lokasi perniagaan.
Dia akhirnya mendapat lokasi tetap di Lorong Bangkok bertentangan dengan tapak niaganya sebelum ini.

Mi goreng Lorong Bangkok kemudian beroperasi dari Kafe Seng Lee, kedai kopi yang ketika itu baru dibina. Sehingga hari ini, selepas diturunkan dari bapa ke anak lelaki selama tiga generasi, mi goreng Lorong Bangkok terus dapat dinikmati pelanggan.
Ramai pelanggan masih berkunjung ke situ setiap minggu bukan saja untuk menikmati air tangan Mahboobin, malah menemuinya untuk berbual-bual.

Mahboobin, yang kini berusia 67 tahun berkata, beliau menggoreng mi di gerai itu sejak berusia 15 tahun.
“Dulu saya datang membantu ayah sebaik habis sekolah sehingga akhirnya pada 1970 saya terus mengambil alih perniagaan ini,” katanya.
Selepas beberapa dekad, Mahboobin sudah mengenali pelanggan yang kerap mengunjunginya malah sudah menghafal apa yang digemari pelanggan tanpa perlu meminta pesanan.
Selain layak digelar ‘raja’ mi goreng, Mahboobin juga boleh menguasai pelbagai bahasa. Dia begitu petah berbual dengan pelanggan dalam bahasa Inggeris, Melayu malah juga Hokkien.

Mahboobin berkata, dia belajar bercakap Hokkien selepas bertahun-tahun mendengar dan berbual dengan pelanggan serta pemilik kafe yang berbangsa Cina. Malah, mengakui bakat itu membolehkan dia memastikan perkhidmatan diberikan lebih pantas selain hubungan baik dengan pelanggan.
“Semua orang begitu mudah ketawa dan kami seronok berbual-bual. Saya layan mereka semua seperti rakan.” katanya sambil tersenyum.
Sayangnya, selepas bertahun-tahun berdiri memasak untuk tempoh yang lama, Mahboobin kini tidak upaya lagi mengusahakan perniagaan itu sepenuh masa dan terpaksa menyerahkan tugas tersebut kepada anaknya, Sabik Ahamed.

Mi dan bihun yang dimasak dalam kuali panas mempunyai rasa perisa unik hasil tiga jenis kuah campuran kentang, cili kering dan sos tomato.
“Semua sos dibuat setiap pagi antara 4 hingga 5 pagi, dan saya sendiri datang membantu membuatnya,” kata Mahboobin.
Beliau merasa sendiri sos berkenaan setiap hari untuk memastikan rasanya tetap sama lazat dengan apa yang dihidangkan 80 tahun lalu.
Campuran sos berkenaan memberikan gabungan rasa manis dan berempah yang cukup memuaskan.

Setiap pinggan mi juga tidak kedekut perencahnya, dengan kentang, tauhu, sotong dan taugeh turut melengkapkan rasa sebelum isi kuali yang panas berasap itu dimasukkan ke pinggan, sedia untuk dimakan.
Potongan daun salad dan hirisan limau ditambah ke pinggan, dan hasilnya pasti membuat sesiapa saja kecur dengan baunya yang begitu “mengancam” jiwa.
Gigitan pertama saja cukup membuatkan kita mahukan lebih lagi, dan rasa mi yang kenyal disaluti sos ‘berlawan’ dengan sayur serta taugeh yang menjadi perencahnya.

Kerangupan sayur segar serta kelembutan kentang dan tauhu bergabung dengan rasa sotong yang sedikit kenyal mewujudkan keenakan yang sukar dilupakan.
Tidak salah jika dikatakan mi goreng Lorong Bangkok cukup kaya dari segi perisa dan sejarahnya, malah menjadi ikon tersendiri di Pulau Pinang.
“Hanya ada satu mi goreng Lorong Bangkok. Inilah yang asal, tiada yang lain,” kata Mahboobin.
Mi Goreng Lorong Bangkok
280, Jalan Burma, George Town
10350 George Town
Pulau Pinang
Waktu beroperasi: 8 pagi – 6 petang setiap hari, kecuali Isnin
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]