
Hari Ketiga: Dari Tanah Rata ke Tanjung Malim

Misi ke Cameron Highland berjaya walau pelbagai rintangan terpaksa kami hadapi namun, itulah manisnya cabaran.
Hari ketiga, misi kembali ke Shah Alam, kami akan memulakan kayuhan dari Tanah Rata ke Tanjung Malim.
Cuaca pagi di Cameron sejuk menusuk hingga ke tulang, walau badan masih terasa sengal-sengal namun, aku gagahkan juga untuk menyambung misi terakhir kami.

Selesai berkemas, kami turun ke café untuk sarapan. “Scone”, “butter” dan strawberi menunggu, terpandang pula nescafe tarik kegemaran, nikmat sungguh!
Dua rakanku Syed Ihsan dan doc Aizan akan berangkat dahulu disebabkan urusan penting yang perlu mereka utamakan. Mereka akan menuruni Cameron melalui Tapah. Di sana sudah ada pengangkutan menunggu untuk membawa mereka pulang ke Shah Alam.

Sementara seorang lagi rakanku Manan, telah pulang ke kampungnya malam tadi. Maka, tinggallah kami berempat hari ini untuk meneruskan kayuhan.
Selesai urusan “check-out”, lebih kurang 8.30 pagi, kami menuruni Cameron. Jalan masih lenggang dengan kabus agak tebal sepanjang perjalanan.

Lokasi pertama singgahan kami ialah Ladang Teh Bharat. Pemandangan di awal pagi sebegini sememangnya mengasyikkan. Masing-masing bergambar kenangan, itu sudah pasti, buat disimpan sebagai memori.
Selesai bergambar, kami meneruskan perjalanan ke lokasi seterusnya. Sepanjang perjalanan terpampang mercu tanda Cameron Highland.

Menuruni Cameron melalui Tanah Rata ke Tapah dengan jarak 60km adalah agak mencabar. Walau jalannya tidak secerun mana, tapi permukaan “tarmac” yang tidak berapa elok menyukarkan kayuhan.
Tambahan pula jaraknya agak jauh, maka kami harus berhati-hati kerana kemalangan mudah terjadi jika fokus lari. Jalan yang agak sempit juga sedikit menyukarkan.

Sampai ke Lata Iskandar, kami berhenti sebentar untuk menambah bekalan minuman. Dalam pada itu sempat juga bergambar kenangan.
Kami tiba di Tapah dengan selamat. Syukur alhamdulillah. Matahari sudah memacak di kepala, perut juga sudah mula berkeroncong. Selepas simpang tol plus, kami singgah di sebuah gerai utk makan tengahari.

Masakan kampungnya memang mantap sekali. Gulai kawah, gulai telur itik dan ikan bakar cicah asam menjadi hidangan.
Selesai makan, kami meneruskan kembali perjalanan destinasi terakhir ke stesen komuter Tanjung Malim. Lebih kurang 70km lagi dan jika tiada aral, dalam masa tiga jam akan sampai ke sana.
Dengan purata kelajuan 30km perjam kami berempat bergilir-gilir menjadi tukang tarik di depan agar boleh sampai tanpa kepenatan melampau.
Tiba di Sungkai, hari yang panas tiba-tiba bertukar menjadi hujan ribut. Risau dan cemas menyelubungi takut ia boleh menjejaskan “timing”.
Komuter terakhir bertolak lebih kurang jam 4 petang dari Tanjung Malim. Jika terlepas bermakna kami harus berkayuh sejauh 100km untuk sampai ke Shah Alam.
Dalam keadaan hujan lebat, kayuhan kami teruskan. Alhamdulillah, semasa menghampiri Tanjung Malim cuaca sudah semakin baik.
Kami singgah di R&R Hulu Bernam dahulu untuk solat. Namun, ujian kembali melanda, semasa solat hujan turun semula.
“Kena tunggu kejap. In shaa Allah, kita akan sempat sampai,” ujar Haji Azri.
Selang beberapa minit hujan kembali reda dan perjalanan berbaki sedikit itu diteruskan.

Alhamdulillah kami berjaya sampai tepat pada masanya. Keretapi masih ada dan kami bergegas membeli tiket beserta “fee” basikal (RM2 sebuah) dan memasuki keretapi dengan senyuman.
Sememangnya, ini adalah pengembaraan aku yang mencabar berbanding versi pertama tahun lepas. Detik ini akan aku abadikan sepanjang hayat.
Nasihat aku kepada semua “cyclist”, sentiasalah menjaga keselamatan diri dan patuhi undang-undang jalan raya. Kayuhan mungkin aktiviti menyeronokkan tetapi boleh mengundang bahaya jika kita sendiri tidak menjaga keselamatan diri dan menyusahkan pengguna jalan raya lain.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]