
Terletak di muara Sungai Terengganu, dahulu ia dikenali sebagai Pulau Peria namun namanya ditukar selepas penduduk pulau tersebut melihat dua ekor ikan duyung, dipercayai ibu dan anak, mendarat di pulau berkenaan.
Pulau Duyong yang merangkumi Pulau Duyong Besar dan Pulau Duyong Kecil dilaporkan terbentuk secara semula jadi apabila berlaku pemendapan dan longgokan pasir yang mengubah muka buminya.
Tetapi apa sebenarnya yang menarik di pulau ini?
Dahulu, ia merupakan pintu masuk ke Bandar Kuala Terengganu melalui jalan laut oleh para pedagang dan pelaut. Hari ini, Pulau Duyong sangat terkenal sebagai pusat pembinaan bot tradisional dan kapal layar.
Industri pembuatan bot serta kapal layar tradisional bertaraf antarabangsa menjadi kebanggaan buat penduduk kampung Pulau Duyong. Malah, ia menjadi destinasi persinggahan pelancong ketika penganjuran Piala Monsoon pada tahun 2005.
Pulau Duyong bukan hanya menjadi tumpuan para pelayar dari seluruh pelusuk dunia untuk mendapatkan hasil pertukangan kapal lebih berkualiti, malah menjadi tempat rujukan buat pengkaji sejarah seni bina dan pengukiran bot dan kapal layar tradisional kerana kehalusan pembuatannya selain menggunakan ciri-ciri tradisional elemen Melayu yang tidak menggunakan paku.
Pada masa ini terdapat dua orang pengusaha bot di Pulau Duyong di samping Shafie iaitu Abdullah Muda dan Hassan Ali, yang menghasilkan dari sekecil-kecil bot hinggalah kepada kapal layar atau mewah yang mencecah sehingga jutaan ringgit setiap tahun.
Menurut Shafie yang sinonim dengan panggilan Pok Awi, sekitar tahun 1970-an dan 1980-an, terdapat banyak bengkel membuat bot dan kapal layar di pulau menjadikan perkampungan itu riuh dengan bunyi-bunyi pertukangan setiap hari.
Ketika itu, pelanggan bukan hanya dari penduduk tempatan malah, peminat bot dan kapal layar dari serata dunia seperti Amerika Syarikat, Alaska, England, Itali, Perancis, Denmark, Australia, New Zealand, Algeria, Kanada dan Singapura turut membuat tempahan.

“Lebih membanggakan, bot-bot jenis kayu hasil pertukangan Pulau Duyong juga mampu belayar menembusi ombak besar sehingga ke Madagascar, Afrika Selatan, Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat serta mampu bertahan sehingga berpuluh-puluh tahun lamanya.
“Ketika itu, kami mendapat banyak tempahan bot serta kapal mewah dari dalam dan luar negara sehinggakan tidak menang tangan. Namun, kini tempahan sudah berkurangan,” katanya.
Menurut Shafie, disebabkan kos bahan yang meningkat secara mendadak menjadikan ramai tukang pembuat bot sudah berputus asa dan tidak mahu meneruskan lagi.
“Kini, hanya tinggal kami bertiga sahaja yang masih meneruskannya di Pulau Duyung sehingga hari ini,” katanya yang berkecimpung dalam industri pembuatan bot sejak 46 tahun lalu.
Shafie sedang menyiapkan sebuah kapal layar yang ditempah sejak tahun lalu dengan panjangnya 54 meter, lebar 17 meter dan kedalaman, sekitar 2.4 meter.
“Biasanya saya seorang buat kerja. Kadang-kala dibantu oleh anak lelaki saya. Kapal bersaiz begini biasanya akan mengambil masa setahun hingga setahun setengah untuk disiapkan sehingga ia boleh bergerak lancar.
“Setiap bot dan kapal dihasilkan menggunakan skru dan kaedah pasak kayu. Kaedah itu dikatakan dapat menjamin kualitinya lebih tahan lama dan tidak mudah bocor ketika berada di atas air,” kata bapa kepada lapan orang anak ini.
Menurut beliau, bagi memastikan tradisi pembuatan bot dan kapal layar dapat diwarisi secara turun-temurun, selain ahli keluarga, ada agensi kerajaan yang turun padang bagi menyelamatkan perusahaan mereka daripada lenyap begitu sahaja.
“Pusat Giat Mara Terengganu dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) cuba untuk merakam dan menghantar pelatih mereka bagi mempelajari daripada kami cara-cara membuat bot dan kapal layar.
“Kami sanggup membimbing golongan muda ini sehingga mereka boleh menguasai kemahiran itu kerana sayang sekali industri ini jika tidak dipelihara dan diwarisi, akan berkubur begitu sahaja,” katanya.
Shafie berkata bengkelnya sentiasa dikunjungi oleh pelancong sama ada dari dalam dan luar negara sepanjang tahun untuk melihat secara dekat, cara-cara membuat bot tradisional secara percuma.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]