
Namun, kerana belum bersedia untuk berkongsi nukilan tersebut dengan dunia, ia sekadar terperuk di dalam laci.
Hanya selepas 12 tahun kemudian, dia akhirnya beroleh keyakinan dan kekuatan untuk berkongsi kata-katanya dengan seluruh dunia.
Leia pada mulanya merancang untuk menerbitkan buku itu pada awal tahun ini, namun kerana pandemik dan perintah sekatan, pelancaran bukunya terpaksa ditunda. Mujurlah, pada 14 Oktober lalu selepas sekian lama tertangguh, Leia berjaya menerbitkan buku pertamanya, SMOKE: A Public Diary, naskhah nukilan hatinya sejak 12 tahun lalu.

Sebagai seorang yang sukar mengekspresi dirinya, Leia menggunakan tulisan dan lukisan sebagai satu bentuk luahan perasaan. “Saya mula menulis ketika baru berusia 18 tahun dan berdepan masalah dengan tugasan dan peperiksaan di kolej,” kenangnya.
“Ketika berusia 27 tahun saya telah didiagnosis dengan gangguan bipolar. Menulis dan lukisan telah membantu saya meluahkan perasaan dengan cara yang tidak dapat saya sampaikan melalui kata-kata yang diucapkan,” tambahnya yang menyifatkan luahan fikiran dan perasaan di atas kertas adalah lebih mudah baginya.
“Saya akhirnya memutuskan untuk mengabadikan karya ini di dalam buku pada awal tahun ini sebagai cara untuk melupakan masa lalu,” katanya kepada FMT.
“Saya melalui masa yang sangat sukar pada awal tahun ini, dan ia benar-benar menyedarkan betapa saya masih berpaut dengan masa lalu dan ia membuat saya penat”.
Terdapat 57 nukilan di dalam SMOKE, di mana semuanya adalah cetusan hati Leia selama ini berdasarkan pengalaman, pemikiran, perasaan dan juga impiannya.
“Setiap nukilan adalah berdasarkan sesuatu yang saya lalui pada masa lalu dan saya sebenarnya mampu mengingati setiap perasaan ketika menulis setiap bahagian”.

Ketika ditanya mengenai judul buku dan bagaimana dia memilihnya, Leia berkata “SMOKE sebenarnya adalah tajuk karya pertama yang pernah saya tulis dan kelihatan sesuai untuk judul buku itu”.
Menyentuh judul bukunya ‘a public diary’, Leia berkongsi bahawa walaupun setiap helaian adalah nukilan tentang pengalaman dalam hidupnya, dia berharap apabila orang membacanya, mereka dapat mengaitkannya dengan kehidupan mereka sendiri.
Sebagai seseorang yang bergelut untuk bersikap terbuka dan terdedah, Leia mengakui ragu-ragu untuk menerbitkan puisinya kerana setiap nukilan adalah sangat peribadi baginya.
“Menerbitkan buku ini untuk semua di luar sana, membuat saya merasa terdedah tetapi kini saya melihat kelemahan sebagai satu keberanian dan kekuatan,” tambahnya dengan meletakkan dirinya dalam kedudukan yang terdedah ini dia dapat mendekati pembaca dan berharap mereka dapat mengaitkan dengan dirinya
Walaupun dia mungkin seorang yang sukar difahami, buku ini adalah percubaannya untuk menyampaikan fikiran dan perasaannya kepada dunia.

Halaman demi halaman SMOKE dipenuhi dengan ilustrasi yang dilakar sendiri oleh Leia, “Kebanyakan ilustrasi ini tidak mempunyai wajah kerana saya mahu pembaca mengisi ruang kosong itu dengan perasaan mereka sendiri”.
Tambahnya, ketika merancang rekaan bukunya, dia memastikan halaman kosong ditambah khusus untuk membolehkan pembaca menulis pemikiran mereka.
“Saya mahu mereka menjadikannya milik peribadi, dengan kata lain ia adalah diari harian umum saya yang diperibadikan oleh setiap pembaca”.
Walaupun diselubungi kegelisahan, Leia sangat teruja untuk sampai ke peringkat ini dalam hidupnya selepas bertahun-tahun mencari kekuatan untuk menerbitkan karyanya.
Leia bekerjasama dengan Rai Arts Initiative untuk memastikan impiannya menjadi kenyataan. “Rai Arts ialah satu usahasama seni yang dikendalikan oleh kakak saya dan suaminya, dan mereka sebenarnya yang mendorong dan menggalakkan saya menerbitkan buku saya,” jelasnya.
Ketika membesar, walaupun mempunyai zaman kanak-kanak yang ceria dan selesa, Leia sering merasa kesunyian dan kehilangan.
“Saya berharap mereka yang membaca buku ini akan merasa terisi dan terhibur dengan kata-kata yang saya nukilkan” .
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]