
Pada penghujung ucapan lazim selaku presiden, Zahid mendeklamasikan ‘Puisi Buat Sahabat’ di hadapan para perwakilan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur.
Puisi tersebut merakamkan kepimpinan Najib, yang juga bekas presiden dan perdana menteri, untuk bangsa dan negara.
Ia juga menceritakan kesedihan Zahid apabila Najib dipenjarakan.
“Sebagai bukti sahabat sejati, ku ikat diriku dengan ikrar dan janji, ku susun langkah dengan bestari, bagi memastikan engkau kembali,
Kembali bersama ke pangkuan kami,” katanya.
Najib mula menjalani hukuman di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan membuat keputusan mengekalkan sabitan penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan salah guna kuasa, pengubahan wang haram, dan pecah amanah berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kemudian memendekkan hukuman penjara itu kepada enam tahun, selain denda juga dikurangkan separuh.
Pada 3 Jul lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib memulakan semakan kehakiman terhadap kerajaan untuk memaksa penzahiran titah adendum dikatakan dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu, membolehkannya menjalani penahanan di rumah.