Ilusi optik 3D pelukis jalanan Perancis bikin orang sakit jantung

Ilusi optik 3D pelukis jalanan Perancis bikin orang sakit jantung

Pierro tidak belajar di sekolah seni sebaliknya belajar sendiri dan banyak bercampur dengan artis lain.

Karya artis dikenali sebagai Pierro ini adalah lukisan grafiti ilusi 3D yang kelihatan seolah-olah ia akan melompat keluar dari dinding. (Gambar Instagram scaf_oner)

Suasana sekitar jalan raya di kota kadangkala agak membosankan. Kerana itu seronok juga jika ia dapat diserikan dengan karya artis jalanan yang hebat.

Hakikatnya tidak semua meminati seni grafiti, namun agak sukar untuk tidak terkesima dengan sentuhan mengagumkan dan unik seorang pelukis jalanan Perancis yang dikenali sebagai Pierro.

Apa yang menarik tentang karya artis ini adalah lukisan grafiti ilusi 3D sentuhannya kelihatan seolah-olah ia akan melompat keluar dari dinding.

Artis ini bermula dengan membuka syarikat yang mengambil upah menghasilkan seni untuk pelanggan.

“Kerana amat menyintai seni lukisan, saya menubuhkan syarikat GrafoDeco. Menerima tempahan individu dan profesional (syarikat awam, persendirian) penganjur acara, pertubuhan, dan mereka yang teruja untuk mendapatkan sentuhan asli bagi hiasan dalaman dan luaran. Saya menggunakan semua medium (dinding, panel, kanvas) tidak kira saiz,” katanya di laman web miliknya.

Apa yang lebih menarik, Pierro tidak pernah mendapat pendidikan rasmi di sebarang sekolah seni. Dia bermula sama seperti ramai artis jalanan lain iaitu di jalanan.

Segala ilmu dan skil yang dimilikinya dipelajari sendiri selain perkongsian artis lain. Dalam temubual baru-baru ini, Pierro mengakui terinspirasi untuk menghasilkan karya seni dari rakan sekolah.

Dia tidak hanya menghasilkan seni jalanan, malah turut melukis ilusi optikal interaktif yang cukup sukar untuk dikuasai.

“Anda perlu memahami perspektif, pencahayaan dan pelbagai lagi elemen dan ia agak luar dari kebiasaan serta memerlukan banyak pengalaman.

Ini membuktikan bahawa seni jalanan bukan semata-mata vandalisme, sebaliknya ia adalah bentuk seni yang sangat teknikal dan amat mengagumkan.

Sebagai pelengkap, Pierro menghidupkan lagi seni grafitinya dengan teknik seni fotografi yang menyeronokkan.

Ia menjadikan karyanya lebih interaktif supaya orang ramai dapat merakam gambar yang menarik dan unik dengan segala jenis makhluk, karakter dan haiwan yang tidak lagi wujud di muka bumi ini.

Resepi bagaimana karya Pierro tular seperti pisang goreng panas, lihat saja busana dan gayanya pada setiap hasil seni yang dimuat naik. Memang hidup dan menakjubkan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.