Siasatan semula kes kematian Teoh peringkat akhir

Siasatan semula kes kematian Teoh peringkat akhir

Kertas siasatan yang lengkap dijangka diserahkan kepada timbalan pendakwa raya dalam masa terdekat.

shuhaily
Pengarah JSJ Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata pihaknya tidak mendapat kerjasama baik daripada keluarga Teoh Beng Hock dalam usaha melengkapkan siasatan.
PETALING JAYA:
Siasatan semula berhubung kes kematian Teoh Beng Hock kini berada di peringkat akhir, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Beliau berkata, kertas siasatan sedang diperkemas seperti diarah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Katanya, kertas siasatan yang lengkap dijangka diserahkan kepada timbalan pendakwa raya dalam masa terdekat.

“Ini siasatan terhad dari sudut sumber kerana kes berlaku 15 tahun dahulu. Ada juga saksi tidak dapat kita temu bual semula,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, menurut Berita Harian.

Shuhaily berkata, pihaknya juga tidak mendapat kerjasama baik daripada keluarga Teoh dalam usaha melengkapkan siasatan.

Katanya, selain itu penggunaan teknologi pengimbas tiga dimensi (3D) bagi membina semula lokasi kejadian tidak banyak membantu siasatan.

“Ia tidak dapat memberi gambaran penuh berkenaan perlakuan sebenar dalam 3D kerana memerlukan input daripada saksi.

“Ada saksi tak dapat kita ketemukan dan ada juga yang tidak mahu tampil lagi, jadi beri kita banyak kelemahan dalam 3D itu,” katanya.

Menurutnya, masih ada penemuan yang dapat menyumbang kepada siasatan melalui pendekatan saintifik.

“Cuma lagi yang dapat membantu kita ialah kajian fizik berkaitan darjah dan sudut (ketika mangsa jatuh) dan itu maklumat tambahan yang boleh kita masukkan dalam kertas siasatan.”

Pada 21 Nov tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan polis melengkapkan siasatan kes kematian Teoh dalam tempoh enam bulan

Keputusan dibuat selepas mahkamah membenarkan permohonan semakan kehakiman difailkan oleh ibu bapa Teoh terhadap ketua polis negara, pengarah siasatan jenayah, polis dan kerajaan.

Awal Februari lalu Shuhaily memaklumkan polis menggunakan teknologi pengimbas 3D untuk membina semula lokasi kejadian dalam usaha siasatan semula kes kematian Teoh.

Teoh, ketika itu setiausaha politik Adun Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah, ditemukan meninggal dunia pada 16 Julai 2009 di tingkat lima Plaza Masalam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terletak di tingkat 14 bangunan sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.