Jibreel lakar impian menjadi juruanimasi kartun seawal 10 tahun

Jibreel lakar impian menjadi juruanimasi kartun seawal 10 tahun

Kanak-kanak berusia 10 tahun dari Bukit Pasir, Muar Johor ini dikatakan mula melukis kira-kira empat tahun lalu.

Jibreel mula melukis seawal usia enam tahun. (Gambar Hairi)
PETALING JAYA:
“Saya rasa gembira bila melukis, terutama apabila hasilnya cantik, dan ia kelihatan seperti apa yang saya bayangkan,” kata Jibreel Fahri.

Kanak-kanak berusia 10 tahun dari Bukit Pasir, Muar Johor ini dikatakan mula melukis kira-kira empat tahun lalu.

Dia kemudiannya terpaut dengan seni lakaran dua tahun kemudian dan pantas menguasainya dengan baik.

Menurut bapa saudaranya, Hairi, bakat seni melukis Jibreel tidak datang secara semula jadi.

“Ketika masih kecil, dia akan meminta ibunya dan saya melukis sesuatu untuknya. Pada satu ketika, kami memberitahu yang dia patut mencubanya sendiri,” katanya sambil menambah Jibreel beransur-ansur membina skilnya dengan menonton tutorial seni di YouTube dan Instagram.

Hairi dan kakaknya, ibu Jibreel, rupanya turut sama mempunyai kecenderungan terhadap lukisan di mana kerja seni mereka pernah disiarkan di majalah ketika masih muda.

Kerja seni Jibreel, hasil inspirasi kek lapis Sarawak. (Gambar Hairi)

Murid darjah Empat SK Sri Bukit Pasir yang agak pemalu itu menyimpan sebuah buku lakaran kecil di dalam beg sekolahnya yang akan dikeluarkan setiap kali mempunyai masa lapang di antara kelas.

Melakar apa sahaja yang terlintas di fikiran. Lazimnya, Jibreel menghabiskan tiga hingga empat jam setiap hari untuk melukis.

“Saya akan melukis bila saya bosan, atau bila saya rasa nak melukis,” katanya, sambil menambah kebanyakan ideanya hadir dengan membiarkan imaginasinya bebas.

Walaupun ibu bapa menyokong seninya, mereka tidak akan memaksa Jibreel melukis jika dia tidak mahu melakukannya.

Mereka juga sanggup membeli peralatan seninya secara dalam talian dengan syarat harganya berpatutan.

Jibreel menghabiskan masa tiga hingga empat jam sehari untuk melukis. (Gambar Hairi)

Selain melukis, anak muda ini cukup suka ke sekolah. “Subjek kegemaran saya di sekolah ialah Bahasa Inggeris, sebab ia mudah,” kata Jibreel sambil tergelak.

Menurut bapa saudaranya, minat Jibreel terhadap bahasa itu mula berputik sejak berusia tujuh tahun lagi.

Dia mempelajarinya sendiri dengan menonton kartun di YouTube kerana ia bukan bahasa pengantara yang digunakan ibu bapanya.

Jika dia tidak sibuk dengan lukisan, Jibreel sama seperti kanak-kanak lain, suka berbasikal di sekitar kejiranannya atau khusyuk bermain video.

“Saya juga suka tidur,” katanya dalam nada nakal.

Sebagai anak tunggal, dia menghabiskan banyak masa pada waktu petang bermain dengan sepupunya yang tinggal berdekatan.

Dalam keterujaan menerbitkan kerja seninya, lukisan bukanlah satu-satunya perkara yang dilakukan untuk mengisi masa lapang.

Jibreel turut menyimpan impian besar di masa hadapan, untuk menjadikan juruanimasi kartun sebagai kerjaya apabila dia dewasa kelak.

“Buku komik kegemaran saya adalah Attack on Titan, dan kartun kegemaran saya ialah The Loud House dan Naruto kerana saya suka gaya seninya,” kata Jibreel kepada FMT.

“Saya juga suka menonton Minions kerana filemnya sangat lucu, dan superhero kegemaran saya adalah Batman kerana dia sangat, sangat hebat!” katanya teruja.

Jibreel mahu menjadikan juruanimasi kartun sebagai kerjayanya. (Gambar Hairi)

Ditanya bagaimana dia berdepan pandemik dan perintah sekatan dan berlanjutan, kata ibu bapanya, setakat ini dia menyesuaikan diri terhadap pembelajaran dalam talian dengan baik.

“Saya memang sangat merindukan interaksi dengan guru dan kawan-kawan ketika kelas Bahasa Inggeris,” katanya dalam nada kesal.

Sebaik pandemik berakhir, dia cukup teruja untuk bertemu kembali kawan-kawan di sekolah dan ‘hiking’ bersama bapa saudara dan sepupunya sama seperti dulu.

Dia juga tidak sabar untuk bertemu sanak-saudara pada Hari Raya.

“Saya dapat bermain dengan sepupu saya, kumpul duit raya dan bermain bunga api sepanjang malam!” ujarnya seronok.

Jibreel akan membawa buku lakaran ke mana saja dia pergi. (Gambar Hairi)

“Lukisan saya seterusnya berkemungkinan gambar fesyen atau sesuatu yang menarik di Instagram,” katanya sambil menambah.

“Saya juga mahu belajar bagaimana untuk mengguna dan mencampurkan warna, kerana saya tidak mahir melakukannya.”

Buat masa ini, Jibreel berkata dia mahu menjadi sebahagian daripada komuniti seni supaya dia dapat menggilap bakatnya dan bertukar-tukar idea dengan rakan artis lain.

Jangan lupa untuk menyaksikan sendiri kerja seni sentuhan Jibreel di Instagram dan Facebook.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.