
Sejenis kulat yang saling tak tumpah bentuknya seperti jari manusia yang sedang mereput bukanlah sesuatu yang ingin kita lihat jika sedang bersendirian.
Pun begitu khazanah alam unik yang diambang kepupusan itu hanya boleh ditemui di Australia berhampiran pantai selatan benua itu.
Warna dan bentuknya yang seolah jari manusia sedang menggenggam dahan kayu patah atau pokok yang tumbang membuatnya kelihatan seperti jari mayat hidup atau zombie.
Lebih mengerikan lagi warna merah jambu-kecoklatan membuat jari itu kelihatan sedang mereput.
Tumbuhan yang dikenali sebagai jari tea-tree atau Hypocreopsis amplectens ini sangat jarang ditemui. Difahamkan ia hanya terdapat di beberapa lokasi di Victoria, di tenggara Australia.
Namun, satu ekspedisi yang diketuai oleh aktivis alam sekitar dari Royal Botanic Gardens Victoria (RBGV) Australia baru-baru ini membuktikan kulat itu semakin berkembang biak di sekurang-kurangnya dua tempat lain di negara Australia.
“Rupanya mungkin mengerikan bagi manusia, tetapi ia berbentuk sedemikian untuk membantunya bertahan,” kata felo pasca doktoral di RBGV dan ketua ekspedisi pencarian kulat tersebut, Michael Amor.
“Oleh kerana ia sering dijumpai pada dahan mati atau pokok yang tumbang, bentuknya yang seakan jari membantunya untuk lebih fleksibel ketika melengkar dan menjalar mengikut lekuk dan belahan kayu.
“Kulat tersebut adalah parasit yang hidup di atas kulat perumah lain yang mereputkan kayu. Ia juga adalah sumber makanan yang enak untuk larva rama-rama dan serangga lain, jadi ia adalah contoh jaringan makanan kompleks yang mencirikan ekosistem yang utuh,” kata Amor.
Sekumpulan penyelidik dan sukarelawan melaporkan penemuan kulat jari tea-tree tersebut di dua lokasi di taman negara yang dilindungi di French Island, Victoria, menurut kenyataan RBGV.
Satu daripada lokasi itu mencatatkan populasi jari tea-tree paling banyak iaitu lebih daripada 100 bunga kulat individu, lebih banyak daripada jumlah populasi kulat di semua lokasi di tanah besar.
Menurut kenyataan itu, penemuan begitu banyak kulat jejari ‘zombie’ memberikan harapan untuk masa depan parasit tersebut, kerana iklim yang semakin panas dan kemusnahan habitat menyebabkan kulat itu semakin pupus di tanah besar.
Ahli ekologi lain sedang menyiasat keseimbangan organisma yang sensitif itu dalam ekosistem kulat untuk menentukan keadaan yang memungkinkannya lebih berkembang biak.
Dalam pada itu, kulat jejari ‘zombie’ ini akan terus ‘menggenggam’ harapan demi untuk bertahan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]