
Bekas guru Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Ampang, Norisah Akbar, mendedahkan pendidik tetap terbeban untuk mengejar tarikh akhir sesuatu tugasan termasuk ada antara mereka terpaksa menyediakan laporan palsu demi memuaskan hati pihak atasan.
“Banyak perkara yang berlaku di sekolah adalah ‘fake reports’ semata-mata bagi memastikan wujudnya laporan untuk menggembirakan pihak jabatan.
“Beban kerja bertambah saban hari dan guru sentiasa berkejar untuk selesaikan pelbagai tarikh akhir hampir setiap minggu. Hanya yang melaluinya saja faham perkara ini dan saya bersimpati pada guru yang tarikh bersara mereka masih jauh,” dakwanya kepada FMT.
Sepanjang perkhidmatan lebih 20 tahun, Norisah, 57, menyifatkan guru seperti ‘zombie’ yang bergerak tanpa akal disebabkan pelbagai tekanan dan perlu bersedia menjadi ‘bahan uji kaji’ bagi sesuatu sistem baharu, kemudian dibatalkan bagi menggantikan sistem lain.
Guru bahasa Inggeris yang bersara pada 2022 berkata, keputusannya meninggalkan profesion itu lebih awal untuk menjaga kesihatan mental dan fizikal disebabkan beban kerja namun mengakui tetap menyayangi anak didiknya.
Dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat 27 Jun lalu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mendedahkan 72.36% daripada 4,300 hingga 6,300 guru memilih bersara awal kerana tidak lagi berminat meneruskan kerjaya mereka, sejak tiga tahun lalu.
April lalu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) bimbang jika tiada tindakan diambil kerana jumlah guru bersara awal dilihat semakin meningkat, dengan anggaran 10,000 guru menghantar permohonan sejak beberapa tahun lalu menyamai kadar guru bersara wajib.
Mac tahun lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) berkata pihaknya sedang mengkaji keperluan mewujudkan pembantu guru bagi mengurangkan beban tugasan perlu digalas dengan melaksanakan tujuh langkah bagi memastikan isu itu dapat ditangani segera bermula sesi persekolahan 2023/2024.
Sementara itu, bekas guru Sekolah Kebangsaan Kampung Jawa, Klang, hanya mahu dikenali Din berkata KPM wajar mencontohi sekolah swasta yang tidak meletakkan beban kerja selain mengajar kepada guru.
“Kalau sekolah kerajaan semua kita nak kena buat, mengajar, buat laporan, nak kena jaga pagar depan, baiki tandas pun guru,” katanya yang bersara pada Mei 2022.
Din, 42, yang berkhidmat sebagai guru bahasa Melayu selama lapan tahun turut menggesa peperiksaan utama dikembalikan bagi mengukur keberkesanan pengajaran, pada masa sama dapat mengelak pendidik terpaksa membuat laporan palsu untuk dihantar kepada pejabat pendidikan daerah.
“Guru dah bertungkus-lumus mengajar, namun bila letak markah rendah berdasarkan penilaian kami, orang atas akan persoal kenapa murid dapat macam ini. Jadi bagi mengelak ia terjadi itu yang ada laporan palsu,” katanya.