
Bagi sesetengah rakyat Malaysia, bulan Jun adalah waktu yang paling ditunggu-tunggu pada setiap tahun.
Ketika ini suasana tepi jalan meriah dengan longgokan durian diletakkan oleh penjualnya sekali gus menandakan tibanya musim raja buah.
Tidak dinafikan, sebahagian besar daripada kita mendambakan kelazatan rasa durian setiap kali kedatangan musimnya.
Walaupun terpaksa duduk di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), anda masih boleh mendapatkannya secara atas talian untuk dihantar terus ke pintu rumah.
Namun, durian jenis apakah yang paling mencuri hati anda? Secara umumnya, durian dibahagikan kepada dua jenis, manis atau sedikit pahit.
Biarpun ramai yang meminati kedua-duanya tetapi kebanyakan lebih menggemari rasa antara pahit dan manis.
Malaysia adalah negara yang bertuah kerana tanahnya begitu sesuai dengan tanaman pokok durian, menyebabkannya tidak begitu sukar untuk anda mencari pelbagai jenis durian.
Ini adalah beberapa jenis durian yang anda patut tahu:
1. Musang King
Tidak susah untuk mengenali salah satu jenis durian yang terkenal ini apabila ia banyak dijual di pasaran tempatan.
Durian yang dibiasanya ditanam di Kelantan, Pahang dan Johor ini kekal sebagai pemegang ‘takhta’ durian paling popular.
Ini mungkin disebabkan rasa isinya yang lemak dan warna kuning terang dilihat pada durian ini.
Bagaimana untuk membezakan Musang King dengan durian jenis lain? Duri berbentuk piramid pada pangkal batang menjadi petunjuk selain bentuk bintang pada pangkal buah.
2. D24

Pesaing terdekat Musang King, D24 kadangkala turut dikenali sebagai Sultan atau D24 Sultan.
Menariknya, D24 pernah memenuhi lokasi terkenal jualan durian sekitar 1990an sebelum Musang King diperkenalkan di pasaran.
Rasa isi durian D24 dikatakan lebih lembut berbanding Musang King namun ia tetap penuh dengan tekstur berkrim.
Ada yang mengatakan bahawa D24 adalah pilihan terbaik raja buah untuk diperkenalkan kepada mereka yang belum pernah merasai durian sebelum ini.
Selain warna isinya yang kuning kehijauan, pangkal batang yang lebih pendek dan bulatan berwarna coklat perang pada bawah buah menjadi ciri utama D24.
3. XO

Jika anda suka rasa durian lebih kuat, durian XO adalah pilihan terbaik buat anda.
Isinya berwarna kuning pucat dan agak berair berbanding jenis durian yang lain selain dikatakan mempunyai rasa seakan alkohol.
Rasa itu adalah hasil daripada proses penapaian yang berlaku ketika buah itu sedang masak.
Dengan kulit berwarna hijau keperangan, ia memiliki bentuk bujur dengan duri yang meruncing ke arah bawah buah.
4. Udang Merah

Kadangkala ia disebut dalam bahasa Melayu sebagai Udang Merah kerana isinya mempunyai warna jingga dan kemerahan.
Jika menyentuh isinya, ia agak melekit dan durian jenis ini sesuai kepada mereka yang suka dengan rasa manis.
Anda dikatakan boleh meneka usia pokok berdasarkan rasa buahnya apabila pokok lebih muda mempunyai rasa manis berbanding pokok tua.
Malangnya, biji durian Udang Merah juga dikatakan lebih besar berbanding durian biasa menyebabkan isinya agak nipis.
Durian ini mempunyai kulit berwarna keperangan dengan duri agak pendek dan jarang.
5. Golden Phoenix

Jika durian Udang Merah sesuai untuk mereka yang sukakan rasa manis, Golden Phoenix pula lebih kepada mereka yang suka rasa pahit.
Warna isinya yang lebih pucat dan berair kadangkala disangka sebagai durian busuk oleh mereka yang tidak biasa dengan jenis ini.
Anda mungkin pelik melihat saiznya tidak seperti biasa memandangkan ia lebih kecil.
Walaupun begitu, isinya tidak mengecewakan dan menjadi pilihan mereka yang ingin menikmati durian dalam keadaan berjimat.
Dengan rasanya yang kuat, anda tidak mungkin terlepas daripada terhidu bau harum durian ini dari jauh.
6. Black Thorn

Berasal dari Pulau Pinang, durian Black Thorn sering dikategorikan sebagai gred durian paling tinggi dan harganya juga sudah tentu sesuai dengan kualiti.
Ia mempunyai rasa yang manis dan isinya pula sering dibandingkan dengan rasa kastard dengan warna kekuningan atau jingga.
Black Thorn sering dibandingkan dengan Musang King namun namanya melambangkan warna hujung durinya yang sedikit gelap.
7. Black Pearl

Durian ini bukanlah datang bersama Kapten Jack Sparrow tetapi ia terkenal dengan alasannya tersendiri.
Namanya berasal daripada biji yang dikatakan agak kecil untuk buah durian dan mempunyai bentuk sfera seperti mutiara.
Orang mungkin menganggap biji yang kecil memberi isi lebih tebal namun saiznya tetap dianggap kecil di kalangan keluarga durian.
Selain saiz, batangnya lebih pendek serta mempunyai isi yang berwarna kuning pucat.
Dengan rasa lebih lembut, ia adalah pilihan terbaik kepada mereka yang tidak sukakan rasa terlalu kuat.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]