Panda gergasi lahir anak kembar di zoo Tokyo

Panda gergasi lahir anak kembar di zoo Tokyo

Panda gergasi bernama Shin Shin melahirkan anak kembar di Zoo Ueno, Tokyo, Rabu lalu.

Seorang pekerja Zoo Ueno memegang anak kembar yang baru dilahirkan Shin Shin. (Gambar AP)

Tokyo menyaksikan kelahiran panda pertama dalam tempoh empat tahun apabila seekor panda gergasi, Shin Shin dilaporkan melahirkan anak kembar di Zoo Ueno, Rabu lalu.

Berita gembira itu disambut ketika Jepun sedang bersiap sedia untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik, tidak lama lagi.

Pengumuman kelahiran itu dibuat menerusi laman sesawang zoo berkenaan apabila anak kembar panda terbabit dilahirkan selang satu jam iaitu pada 1.03 pagi dan 2.32 pagi.

Bagaimanapun, jantinanya masih belum dikenal pasti dan nama juga belum diberikan oleh pihak zoo.

“Semua pekerja zoo bekerjasama dalam memastikan ibu dan anak panda ini berada dalam keadaan baik,” kata jurucakap zoo menerusi kenyataan dimuat naik di laman sesawang mereka.

Salah seekor anak panda dilahirkan dengan berat 124 gram manakala berat seekor lagi belum dapat dipastikan.

Shin Shin yang dilahirkan pada 3 Julai 2005 di Pusat Konservasi dan Penyelidikan Panda Gergasi di Wolong, China, tiba di Zoo Ueno sejak satu dekad lalu bersama pasangan jantan, Ri Ri.

Pasangan panda gergasi itu mempunyai seekor lagi anak bernama Xiang Xiang yang dilahirkan pada Jun 2017.

Pihak zoo mengasingkan Shin Shin daripada orang awam ketika zoo dibuka semula baru-baru ini apabila ia menunjukkan tanda sedang bunting.

“Panda gergasi ini membesar dengan lima ahli keluarga. Ini adalah berita paling gembira. Saya percaya semua pekerja zoo melakukan yang terbaik untuk menjaganya sepanjang hari bagi memastikan ia selamat,” kata Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Katsunobu Kato.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.