
Satu ketika dulu, ia menjadi satu kemudahan wajib di semua pejabat seluruh dunia namun kini, mesin taip sudah dianggap pupus dan hanya menjadi tinggalan sejarah yang dikenang.
Bagaimanapun, syarikat permainan bongkah plastik terkenal dunia, Lego cuba membawa peminatnya mengimbau kenangan silam dengan melancarkan mesin taip Lego.
Mesin taip itu dihasilkan menggunakan 2,079 bongkah plastik yang lengkap dibina bersama kekuncinya.
Set terbaru berkenaan disasarkan kepada peminat dewasa mereka dan ia mengambil inspirasi daripada seorang peminat Lego dari Britain, Steve Guinness.
Dia menghantar konsepnya itu di Lego Ideas, iaitu sebuah platform untuk peminatnya berkongsi binaan terbaru impian mereka sebelum ia diundi secara terbuka untuk dijadikan sebagai realiti.
Guinness yang muncul sebagai pemenang sebagai konsep paling menarik, mendapat lebih 10,000 undian dan dia juga bakal berkongsi keuntungan lumayan hasil jualan binaan Lego terbaru itu.
“Saya ingin menghasilkan sesuatu yang berbeza daripada binaan Lego sebelum ini selain membuktikan bahawa anda sebenarnya boleh melakukan apa saja dengan bongkah plastik ini.
“Saya membeli mesin taip antik untuk tujuan penyelidikan dan cuba bermain-main dengan bongkah plastik Lego sehingga berpuas hati dengan rekaan dihasilkan.
“Diharapkan ia dapat membawa satu nostalgia untuk peminat dewasa seperti saya selain untuk peminat muda yang mungkin tidak pernah melihat mesin taip sebenar,” katanya.
Mesin taip Lego dengan harga runcit $199.99 (RM824) akan dijual kepada ahli VIP mereka pada 16 Jun ini manakala jualan umum pula bermula Julai depan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]