Remy masih bertenaga pada usia emas

Remy masih bertenaga pada usia emas

Marcel Remy gemar melakukan mendaki tembok tiruan dan pernah menawan dinding batu kapur Miroir de l'Argentine setinggi 500 meter.

Remy kelihatan tenang ketika melakukan cubaan kedua memanjat salah satu tembok tiruan terbesar di Switzerland. (Gambar Youtube)

Melihat kepada susuk tubuh warga emas berusia 98 tahun ini, tiada siapa yang menyangka bahawa dia masih mempunyai kekuatan fizikal setaraf orang muda.

Marcel Remy juga mampu mendaki dinding batu kapur setinggi 500 meter, Miroir de l’Argentine yang berjaya ditawannya ketika berusia 94 tahun.

Aktivitinya tidak terhenti di situ apabila dia kini melakukan cubaan kedua untuk memanjat tembok tiruan di Villeneuve iaitu salah satu tembok terbesar di Switzerland.

Dengan bimbingan salah seorang anaknya, Claude, dia kelihatan tenang ketika mula memanjat beberapa meter ke atas yang mungkin sukar dilakukan untuk individu seusianya.

Bagaimanapun, dia akhirnya berjaya menghabiskan pendakian tembok berkenaan dan tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira sebaik turun dari puncak.

“Saya amat gembira,” katanya sambil berehat seketika.

Minatnya terhadap sukan ekstrem itu bukan perkara baru kerana ketika muda dia sering meluangkan masa dengan Claude dan seorang lagi anak lelaki, Yves dengan membawa mereka ke kawasan pergunungan.

Bekas pekerja syarikat keretapi Switzerland itu gemar dengan aktiviti luar dan Pergunungan Alps sering menjadi ‘tempat permainan’ warga emas ini.

Claude berkata, ramai orang terkejut apabila mendapat tahu usia sebenar bapanya yang masih mempunyai kudrat untuk melakukan aktiviti lasak seperti itu.

“Bapa saya adalah seorang yang lasak. Dia mempunyai ketahanan yang tinggi dalam menempuh apa saja kesukaran,” katanya.

Claude dan Yves, 65, adalah pendaki yang dikenali dalam dunia sukan lasak itu dan kisah kejayaan mereka pernah dimuatkan dalam majalah pendakian Perancis, Grimper.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.