
Aktiviti paragliding bukan untuk semua orang terutama bagi mereka yang gayat atau takut kepada ketinggian.
Namun, ketakutan itu mungkin boleh ditangani dengan cara tertentu termasuk seorang pemain violin yang memilih kaedah di luar kebiasaan untuk menghilangkan rasa takutnya.
Fikret Eren yang kali pertama mengikuti aktiviti lasak itu turut membawa dan bermain alat muzik itu sambil terbang di ruang udara.
Lelaki itu yang juga seorang guru violin menyahut cabaran terbabit kerana terlalu cemburu dengan status rakan zaman kanak-kanaknya, Semih Er sebagai paraglider profesional.
Semih melakukan aktiviti itu secara profesional sejak lapan tahun lalu dan dia mencadangkan sendiri kepada Fikret untuk mencubanya.
Menurut Fikret, dia membawa violin bersamanya kerana merasakan ia boleh mengurangkan ketakutannya.
Pada mulanya dia berasa gementar tetapi dengan semangat yang diberikan rakannya itu, lelaki terbabit akhirnya memberanikan diri sambil membawa alat muzik itu.
Pengalaman itu lebih indah apabila dia berpeluang mengalunkan muzik merdu sambil melihat panorama cantik di sekitar wilayah Kayseri di Turki.
Berdasarkan beberapa gambar yang dikongsi, Eren dengan tenang bermain violin sambil melakukan paragliding melepasi kawasan pergunungan di situ.
“Fikret mengakui selepas itu ketakutannya mula hilang dan menyesal tidak melakukannya lebih awal.
“Malah, dia kini mendaftarkan diri untuk menyertai kursus mendapatkan lesen paragliding. Saya sebenarnya sudah melakukannya selama lapan tahun dan melakukan lebih 3,000 penerbangan.
“Namun, bukan setiap hari saya berdepan dengan sesuatu yang diluar kebiasaan seperti ini apabila rakan sendiri bermain violin ketika melakukan paragliding,” kata Semih.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]