
Lukisan bekas Perdana Menteri Britain, Winston Churchill milik bintang Hollywood, Angelina Jolie menjadi karya paling mahal yang berjaya dijual pada acara lelongan iaitu dengan harga 8.3 juta pound (RM46.9 juta).
Lukisan itu juga pernah dihadiahkan kepada rakan sejawatnya, Presiden Amerika Syarikat, Franklin D Roosevelt sebelum menjadi koleksi Jolie.
Lukisan bertajuk ‘Tower of Koutoubia Mosque’ itu dijual pada 1 Mac lalu yang menunjukkan pemandangan di kota Marrakesh, Maghribi iaitu subjek kegemaran Churchill.
Menurut Nick Orchard yang mewakili syarikat lelongan Christie di London, kali pertama bekas pemimpin itu melawat Maghribi ialah pada 1935 dan dia tertarik dengan suasana cahaya di sana.
“Dia merasakan lukisan mengenai negara itu adalah di antara yang terbaik pernah dihasilkan,” katanya.
Harga yang dijual itu adalah tiga kali ganda lebih tinggi daripada yang dianggarkan iaitu 2.5 juta pound (RM14.1 juta) dan rekod jualan Churchill sebelum ini ialah 1.7 juta pound (RM9.6 juta) pada 2014 di Sotheby London.
Menurut sumber, pelakon Brad Pitt membeli lukisan pemandangan matahari terbenam itu sebagai hadiah kepada Jolie pada 2011 dan pasangan itu sudah pun berpisah pada 2016 selepas dua tahun berkahwin.
Pitt membeli lukisan itu daripada penjual barangan antik, Bill Rau yang sebelum ini memaklumkan CNN bahawa anak lelaki Roosevelt menjualnya kepada pencipta filem pada 1960.
Menurut Rau, lukisan itu kemudiannya berada di New Orleans yang disimpan oleh satu keluarga selama lebih lima dekad sebelum mereka menghubungi galerinya.
“Lukisan ini adalah tanda dua pemimpin berkongsi pendapat mengenai keindahan landskap di Marrakesh ketika matahari terbenam di sebalik Gunung Atlas dan lebih teruja lagi apabila mengetahui ia dihadiahkan oleh Churchill kepada Roosevelt,” kata Rau.
‘Tower of Koutoubia Mosque’ ialah satu-satunya karya dihasilkan Churchill antara 1939 dan 1945 ketika zaman Perang Dunia Kedua.
Selain lukisan itu, dua lagi karya Churchill turut meraih pulangan lumayan pada acara lelongan Christie.
Lukisan ‘Scene at Marrakech’, satu lagi karya yang menggunakan komposisi cahaya di tempat kegemaran Churchill dijual hampir 1.9 juta pound (RM10.7 juta) dan ‘St Paul’s Churchyard’ pada harga hampir 1.1 juta pound (RM6.2 juta).
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]