Wanita 21 tahun cipta rekod dunia mendayung solo merentasi lautan Atlantik

Wanita 21 tahun cipta rekod dunia mendayung solo merentasi lautan Atlantik

Jasmine menyempurnakan perjalanan dalam masa 70 hari, tiga jam 48 minit dan mencipta rekod baharu dunia sebagai wanita termuda mendayung solo di lautan.

Jasmine Harrison memecah rekod dunia sebagai wanita termuda mendayung solo di lautan. (Gambar Penny Bird/Atlantic Campaigns)

Jasmine Harrison, yang berasal dari North Yorkshire, UK menjadi wanita termuda menghabiskan dayungan solo melintasi lautan Atlantik di dalam pertandingan “The Talisker Whisky Atlantic Challenge”.

Jasmine memulakan perjalanannya pada bulan Disember bertolak dari La Gomera di Pulau Canary, Sepanyol menempuh perjalanan sejauh 4,828 kilometer untuk sampai ke Antigua.

Wanita berusia 21 tahun ini menyempurnakan perjalanan dalam masa 70 hari, tiga jam 48 minit dan mencipta rekod baharu dunia untuk wanita termuda mendayung solo di lautan.

Menurut Jasmine, perjalanan tersebut merupakan satu pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan dan apabila ditanya apa yang diinginkan setelah habis perlumbaan tersebut? Jawapannya, “Makanan, tentu sekali makanan.”

“Berbagai pengalaman baik dan buruk telah saya tempuh sepanjang perjalanan ini. Ia adalah satu perjalanan yang lari dari kehidupan sebenar. Tiada yang sebaik ini, jauh dari segalanya – media sosial, berita buruk dan segalanya,” ujar Jasmine.

Sepanjang perjalanan tersebut, Jasmine turut terlibat dengan kemalangan bot pada Februari dan dua hari lalu, dia mengalami kecederaan pada siku.

“Saya mendayung selama dua jam dan tidur dua jam, bergilir-gilir sepanjang perlumbaan ini,” ujarnya.

Jasmine yang juga seorang guru sukan renang ini berkata dia terinspirasi untuk mengambil bahagian di dalam pertandingan ini apabila melawat Antiqua selepas menamatkan A-levels dan kemudian terus berlatih.

“Saya mahu menginspirasi orang-orang muda agar keluar dan lakukan sesuatu, samada untuk menukar dunia atau hanya sesuatu di luar zon selesa,” katanya.

Sehingga kini, pendayung wanita termuda menyusuri Lautan Atlantik adalah Katie Spotz, 22 tahun dari USA yang membuat perjalanan di antara 3 Januari dan 14 Mac, 2010.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.