
Jenazah bayi itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhathul Sakinah KL-Karak, Taman Selaseh, malam tadi.
Pemergiannya dimaklumkan menerusi akaun rasmi Facebook Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) bersama sekeping gambar menunjukkan pengebumian jenazah sedang dilakukan.
Lebih menyedihkan lagi apabila ibunya dikatakan masih lagi bertarung nyawa di unit rawatan rapi (ICU) manakala bapanya pula sedang menjalani kuarantin di rumah bersama lapan anak.
“Ya Allah…sayu hati kami di keheningan malam tadi, kali pertama menerima jenazah Covid-19 termuda bayi lelaki berusia 38 minggu di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah KL-Karak, Taman Selaseh.
“Difahamkan ibunya kini masih bertarung nyawa di ICU. Bapanya pula bersama lapan lagi anak sedang menjalani kuarantin di rumah. Semoga dikurniakan ketabahan buat seluruh ahli keluarga.
“Insya-Allah, anak kecil ini menanti di syurga, memberikan syafaat buat kedua-dua orang tuanya di akhirat kelak,” katanya.
Berita itu mengundang rasa pilu dalam kalangan warganet yang meninggalkan banyak komen di hantaran berkenaan dan kebanyakannya mendoakan kesembuhan buat keluarga terbabit.
“Allahuakhbar, salam takziah. Sangat besar ujian keluarga ini. Moga Allah mengurniakan kesembuhan buat ibumu yang sedang bertarung nyawa serta bapa dan anak-anak yang kuarantin di rumah. Ya Allah Ya Rahman Ya Mujib, perkenanlah doa kami semua,” tulis seorang warganet.
“Salam takziah, semoga keluarga ini diberi kesembuhan,” kata seorang lagi warganet.