Pelajar 14 tahun bayar zakat perniagaan RM10,000

Pelajar 14 tahun bayar zakat perniagaan RM10,000

Putri Mumtaz Sunnafis Luthfiya Mustamaman menjadi pembayar zakat perniagaan termuda di Kelantan setakat ini.

Putri Mumtaz Sunnafis Luthfiya Mustamaman ditemani ibu bapanya menyerahkan zakat RM10,000 kepada Ketua Pegawai Zakat Maik, Ameer Azeezy Tuan Abdullah (dua dari kiri). (Gambar Maik)
KOTA BHARU:
Seorang pelajar berusia 14 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Bemban, Pasir Mas dekat sini, muncul pembayar zakat perniagaan termuda di Kelantan setakat ini.

Putri Mumtaz Sunnafis Luthfiya Mustamaman yang lebih dikenali sebagai Piya, membayar zakat perniagaan RM10,000 bagi 2022 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) Khamis lalu.

Putri yang ditemani ibu bapanya, menyerahkan zakat itu kepada Ketua Pegawai Zakat Maik, Ameer Azeezy Tuan Abdullah.

Remaja itu berkata, zakat perniagaan berkenaan hasil perniagaan produk pengganti pemakanan diusahakannya selama empat bulan mulai September lalu yang menyaksikan dia meraih jualan RM400,000.

“Saya tidak menyangka pada usia muda ini saya mampu meraih hasil jualan sehingga mencecah enam angka dengan mengusahakan produk sendiri.

“Saya juga mendengar nasihat ibu saya, Bibi Hasnalinda Zainal Abidin, 46, dan ayah, Mustaman Che Yusof, 60, untuk menunaikan rukun Islam keempat ini. Saya berharap ia mampu membantu golongan memerlukan.”

Maik dalam kenyataan hari ini memaklumkan Putri Mumtaz Sunnafis Luthfiya adalah pembayar zakat termuda di Kelantan dan berharap sikap positif remaja itu menjadi inspirasi kepada semua.

“Sama-sama kita doakan hasrat anak keenam daripada lapan beradik ini untuk menjadi pembayar zakat tertinggi Maik dan membantu asnaf di Kelantan menerusi zakat akan menjadi kenyataan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.