
Dahulu, dia tidak pernah kenal tentang “kayuhan”. Melihat sekumpulan orang berbasikal baginya perkara biasa, tiada yang istimewa. Jadual kerja yang padat buatkan dia ‘tidak endah’ apabila kadang-kala tersempak dengan rakan-rakan yang berbasikal di jalanan.
Namun, bila dia mengalami serangan jantung pada 2013 segalanya berubah. Terdetik di minda, mungkin dia perlu mengubah, perlahankan rentak dan seimbangkan gaya hidup yang lebih cemerlang.

Basharulhizam Ishak, 47, sedar dalam kehidupan, kesihatan perlu diutamakan. Melihat rakan-rakan seangkatan berbasikal setiap hujung minggu, buatkan dia teruja ingin mencuba.
Baginya, berbasikal satu senaman sihat yang bukan sekadar riadah tetapi menguji kecerdasan fizikal dan minda. Kemudian, perlahan-lahan ditimbanya ilmu dan teknik kayuhan.

2014 selepas menjalani pembedahan jantung, Basharulhizam kemudian bermula dengan kayuhan perlahan. Bersama teman-teman dia menjelajah pelbagai kawasan dari dekat hinggalah ke serata” pelusuk tempat.
Kayuhan seperti jadi ‘ubat’ buatnya, setiap minggu pasti ada agenda yang harus dijelajah bersama rakan-rakan. Dia kemudian menyertai beberapa kelab berbasikal iaitu “Puncak Alam Cycling Club” (PACC) dan “Lesen Agung Cycling Club” (LACC) yang ahlinya adalah rakan-rakan dari kolejnya dahulu iaitu Maktab Sains Mara Kuantan (MSMK).

“Berbasikal bagai satu terapi buat saya, satu senaman sihat untuk mengembalikan stamina dan beri kecergasan. Setiap minggu saya jadi ‘ketagih’ untuk mengayuh, malah bila ada saja masa terluang, saya pasti akan mulakan kayuhan kadang-kala sendiri, bersama rakan-rakan atau bersama isteri dan anak,” jelas Basharulhizam atau lebih mesra dipanggil Bash oleh rakan-rakannya.
Baginya untuk meningkatkan kemahiran, setiap tahun dia akan menyertai pelbagai kayuhan menjelajah bersama rakan-rakan kelabnya.

Menurut Bash, antara kayuhan yang mencabar adalah pada tahun 2016, dia membuat kayuhan Jelajah Selatan bersama rakan-rakan selama tiga hari iaitu berbasikal dari Shah Alam ke Desaru sejauh 500km.
Kemudian, pada 2017, dia menyertai “Janamanjung Fun Rite” bersama 60 ahli Puncak Alam Cycling Club (PACC) ke Lumut dengan perjalanan sejauh 170km.
Pada 2018, bersama-sama Lesen Agung Cycling Club (LACC), dia menjelajah ke Teluk Intan selama 3 hari 2 malam dengan perjalanan sejauh 400km. Kemudian pada 2019 bersama-sama 14 rakan lain, dia berbasikal ke Raub dan Cameron Highlands selama dua hari.

“Paling jauh, saya pernah mengayuh semasa 31 Ogos dalam kayuhan Merdeka Ride 2020 yang dianjurkan oleh “Audax Organise Long Distance Cycling Event”. Acara ini melibatkan lebih 300 orang yang mengayuh dari Morib ke Larut ke Rantau Panjang ke Melaka ke Port Dickson dan kembali ke Morib.

Selain dalam negeri, Bash turut pernah mengayuh hingga ke Thailand dan Singapura.
“Impian saya seterusnya ingin ke Gunung Jerai dan Banjaran Titiwangsa,” ujarnya.

Dalam keseronokan mengayuh basikal, Basharulhizam pernah mengalami pengalaman ngeri dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta, namun dia bersyukur tiada kecederaan berat hanya luka dan lebam dialaminya.
“Kemalangan kedua apabila saya sedang dalam kayuhan bersama rakan-rakan kelab LACC. Waktu itu kami di Seri Menanti, Negeri Sembilan. Kami terjatuh dan seramai empat atau lima orang tercedera, lutut koyak dan terpaksa ke klinik berhampiran untuk rawatan. Memandangkan basikal juga rosak, maka kami menyewa sebuah lori untuk balik ke Kuala Lumpur,” ujarnya tersenyum kecil.

Baginya setiap aktiviti jelajah yang dilakukan bukan sekadar menguji skil kayuhan tetapi memberi pelbagai pengalaman berharga lebih-lebih lagi apabila singgah di setiap destinasi menarik.
Dalam pada itu, Bash menasihatkan kepada mereka yang berbasikal agar sentiasa mengutamakan keselamatan diri.
“Jangan berbasikal secara berpasangan, gunakan laluan yang di khaskan dan jangan bersembang semasa mengayuh. Kepada yang mengayuh pada waktu malam, pastikan memakai ‘cycling vest’ atau pakaian berlampu,” nasihatnya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]