Ngauman motosikal kuasa tinggi Aulla bergema di jalan raya

Ngauman motosikal kuasa tinggi Aulla bergema di jalan raya

Semangat setiakawan di antara “bikers” amat tinggi. Malah, mereka tidak teragak-agak untuk membantu penunggang lain yang dalam kesusahan walau tidak mengenali antara satu dengan lain.

Fadzinu Aulla bersama kumpulan motosikal berkuasa tinggi Z800 Limited Edition. (Gambar Aulla)
KUALA LUMPUR:
Deruman enjin mengaum kuat laksana ngauman si Raja Rimba. Meluncur megah mempamer sasa umpama pahlawan diraja.
Fadzinu Aulla, peminat motosikal berkuasa tinggi. (Gambar Aulla)

Jika berkumpulan, gayanya sahaja agak menggerunkan apatah lagi dilihat lengkap berpakaian pelindung dan “helmet” sebagai perisai kerana keselamatan perlu diutamakan.

Fadzinu Aulla Bin Mohamed, 50 antara “si bikers kental”, gelaran buat penunggang motorsikal berkuasa tinggi. Minatnya kepada motosikal ini tersemai sejak kecil lagi. Keinginan itu kemudian disempurnakan dengan membeli Yamaha Virago 535 pada tahun 1995.

Motosikal berkuasa tinggi pertamanya, Yamaha Virago 535. (Gambar Aulla)

“Itu adalah motosikal berkuasa tinggi saya yang pertama dan masih ada bersama saya sehingga sekarang. Pada 2015 saya membeli Yamaha FZ150cc tetapi dua tahun kemudian saya menjualnya dan pada 2017, saya beli pula Kawazaki Z800cc. Motor ini saya masih simpan sampai sekarang,” ujar bapa kepada lima orang cahaya mata ini.

Menurut Fadzinu atau lebih mesra dengan panggilan Aulla, menunggang motosikal berkuasa tinggi terutama berkumpulan seperti satu terapi buat dirinya.

Semasa menjelajah berkumpulan bersama Z8LE di Penang. (Gambar Aulla)

“Ia ibarat satu kepuasan dan terapi minda yang memberi ketenangan apabila menunggang. Semua stres akan hilang bila kita meluncur bersamanya. Mungkin kerana itu juga ada yang sanggup berbelanja besar untuk memiliki motor yang lebih tinggi kuasa enjinnya. Tetapi itu terpulang pada minat dan hobi masing-masing,” ujar suami kepada Aznizam Binti Kamal, 44 tahun ini.

Jelas Aulla lagi, kenikmatan bermotor besar adalah bila dapat menjelajah secara berkumpulan. Dia yang menyertai dua kumpulan motosikal berkuasa tinggi ini telah menjelajah hampir ke seluruh negeri di Malaysia dan ke luar negara seperti Puket.

Bersama Puncak Alam Bikers Community. (Gambar Aulla)

“Saya ada dua kumpulan iaitu Z8LE (Z800 Limited Edition) dan PABC (Puncak Alam Bikers Community). Kedua-dua kumpulan ini memang aktif dan kami telah membuat lebih kurang 20 aktiviti jelajah berkumpulan di seluruh negara.

“Antara tempat-tempat menarik yang telah kami pergi seperti Kembara Mee Udang di Pulau Sayak Kedah, Gunung Jerai, Lemang Tok Ki di Pahang, Nasi Briyani di Muar dan Tanjung Piai di Johor, Kuala Rompin, Kemaman, Pekan Grik dan banyak lagi,” ujar anak kelahiran Pulau Pinang ini.

Para “bikers” mempunyai semangat setiakawan dan ikatan persaudaraan yang sangat tinggi. (Gambar Aulla)

Menurut Aulla, semangat setiakawan di antara “bikers” amat tinggi. Malah, mereka tidak teragak-agak untuk membantu penunggang lain yang dalam kesusahan walau tidak mengenali antara satu dengan lain.

“Pernah semasa berkembara di Pulau Pinang seramai 10 orang, kami dalam perjalanan ke Alor Setar dan motor saya rosak. “Rectifier” saya tak berfungsi. Waktu itu hari Ahad jadi kebanyakan kedai motor tutup. Seorang ahli kumpulan menghubungi kawannya yang menetap di situ. Kawannya bernama Adam terus datang ke tempat kejadian dan bawa bersama “rectifier” motor dia.

“Dengan pertolongan Adam itu membolehkan saya dan rakan-rakan meneruskan perjalanan pulang. Dua hari kemudian seperti yang dijanjikan, saya pos semula “rectifier” tersebut kepada Adam. Besar pengorbanan dia dan itulah yang dinamakan ikatan persaudaraan dan semangat setiakawan yang sangat kuat di antara semua penunggang motosikal,” ujar Aulla lagi.

Aulla di samping motosikal berkuasa tinggi kesayangannya. (Gambar Aulla)

Bercerita mengenai pengalaman mencabar yang pernah dialaminya, Aulla berkata, dia pernah berkembara ke Puket selama empat hari pada 2019 bersama 10 orang ahli kelabnya. Perjalanan tersebut sejauh 1200km.

“Kali kedua, saya dan dua rakan lain menjelajah ke satu Malaysia selama tiga hari dua malam dari Kuala Lumpur, Kuantan, Trengganu, Kota Baharu, Jeli, Grik, Kuala Kangsar dan balik semula ke Kuala Lumpur. Perjalanan tersebut sejauh 1300km,” ujarnya.

Bercakap mengenai pandangan serong segelintir masyarakat terhadap penunggang motor berkuasa tinggi ini, Aulla berpendapat, “Persepsi masyarakat adalah subjektif. Terpulang kepada individu. Tetapi yang pasti kami penunggang motor besar bukanlah hobi yang membuang masa tetapi banyak aktiviti kebajikan yang telah kami lakukan.

Sewaktu melakukan aktiviti amal bersama anak-anak yatim Sungai Buaya, Banting. (Gambar Aulla)

“Sejak 2017 hingga sekarang, banyak aktiviti kemasyarakatan yang telah saya lakukan bersama kumpulan. Setiap tahun pada bulan puasa kami akan memberi sumbangan kepada anak-anak yatim di Sungai Buaya, Banting Selangor dan dananya kami kutip dari setiap ahli. Begitu juga dengan rumah anak yatim lain.

Sekeluarga yang mempunyai hobi bermotosikal. (Gambar Aulla)

“Malah, kami juga sering melakukan kebajikan bersama masyarakat dan sering juga dijemput untuk memeriahkan majlis walimatulurus di sekitar Klang, Banting dan Puncak Alam,” jelasnya yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Teknologi Maklumat Kanan di Universiti Institut Teknologi Mara Shah Alam.

Bersama rakan-rakan “rider” lengkap berpakaian keselamatan. (Gambar Aulla)

Sebelum mengakhiri perbualan, Aulla berpesan kepada semua penunggang motosikal berkuasa tinggi agar sentiasa mementingkan keselamatan diri semasa menunggang motosikal.

“Pastikan jentera dalam keadaan baik. Periksa brek, tayar dan minyak sebelum pergi ke mana-mana kembara berkumpulan. Pakaian semasa menunggang amat penting. Pastikan memakai pakaian, jaket, kasut dan “helmet” yang bersesuaian. Ini adalah langkah-langkah keselamatan pertama yang perlu diutamakan sebelum anda bercita-cita menjadi penunggang motosikal berkuasa tinggi,” akhirinya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.