Lelaki maut dirempuh van disyaki langgar lampu merah

Lelaki maut dirempuh van disyaki langgar lampu merah

Mangsa berusia 20 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Mohamad Hatta Che Din
Ketua Polis Seremban Mohamad Hatta Che Din berkata pemandu van ditahan untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. (Gambar Facebook)
SEREMBAN:
Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang dirempuh sebuah van dipercayai langgar lampu isyarat merah di Jalan Persiaran Senawang 1, Paroi, tengah malam tadi.

Ketua Polis Seremban, Mohamad Hatta Che Din, berkata dalam insiden kira-kira 12.10 tengah malam, mangsa berusia 20 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah van Toyota Hiace dipandu lelaki berusia 44 tahun bersama penumpang wanita berusia 20 tahun dari arah Senawang ke Bahau, dipercayai gagal berhenti di lampu isyarat merah sebelum melanggar motosikal Yamaha Y15ZR ditunggang mangsa,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mayat kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Rembau untuk bedah siasat manakala pemandu van bersama penumpangnya tidak mengalami kecederaan.

Hatta berkata, pemandu van ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau turut meminta individu mempunyai maklumat mengenai kejadian berhubung dengan pegawai penyiasat Tiew Chuan Jie di talian 014 9668399 atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.