Ubah rekaan lorong motosikal untuk tingkat penggunaan, kurang kemalangan, kerajaan diberitahu

Ubah rekaan lorong motosikal untuk tingkat penggunaan, kurang kemalangan, kerajaan diberitahu

Perunding keselamatan jalan raya Karen Goonting berkata lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan terlalu sempit.

laluan motorsikal motorcycle lane
Perunding keselamatan jalan raya Karen Goonting berkata peningkatan penggunaan lorong khas motosikal boleh membantu mengurangkan jumlah kemalangan membabitkan penunggang motosikal.
PETALING JAYA:
Pakar menyambut baik cadangan kerajaan menwujudkan lorong khas motosikal di lebuh raya baharu, namun menegaskan ia perlu direka bentuk supaya mampu menampung penggunaan lebih tinggi.

Perunding keselamatan jalan raya, Karen Goonting, berkata lorong motosikal sedia ada di Lebuhraya Persekutuan terlalu sempit.

Karen Goonting
Karen Goonting.

“Purata kelajuan motosikal biasanya dalam lingkungan 72kmj hingga 80kmj.

“Satu kajian pada 2005 mencadangkan bahawa berdasarkan kelajuan motosikal yang lebih tinggi daripada purata, lorong khas motosikal sepatutnya mempunyai kelebaran sekitar 3.81m, berbanding 2m pada masa ini.

“Lorong 2m yang digunakan sekarang tidak sesuai untuk memotong dengan selamat, terutama bagi motosikal lebih besar,” katanya kepada FMT.

Goonting berkata, peningkatan penggunaan lorong khas motosikal juga akan mengurangkan jumlah kemalangan melibatkan penunggang motosikal. Katanya, kajian dijalankan pada 1994 dan 1995 mendapati kadar kemalangan di Lebuhraya Persekutuan menurun antara 25% hingga 34%.

“Ini mengasingkan motosikal daripada aliran trafik utama yang melibatkan kenderaan berat dan kenderaan persendirian,” katanya, sambil menambah ia juga dapat membantu mengatasi masalah kesesakan lalu lintas.

Awal bulan ini, theSun melaporkan antara 2019 dan 2023, sebanyak 829 kemalangan motosikal berlaku di tiga lebuh raya utama – Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Shah Alam dan Lebuhraya Koridor Guthrie – yang semuanya mempunyai lorong motosikal khas.

Sementara itu, Bernama melaporkan Kementerian Kerja Raya sedang meneliti kemungkinan memasukkan lorong khas motosikal dalam projek lebuh raya baharu, sebagai sebahagian strategi jangka panjang untuk meningkatkan keselamatan dan kebajikan penunggang motosikal.

Goonting juga mencadangkan kerajaan memendekkan jarak perjalanan di lorong motosikal yang bakal dibina itu.

“Sebagai contoh, lorong khas motosikal di Putrajaya lebih panjang berbanding jalan bagi kenderaan lain. Penunggang motosikal, yang kebanyakannya daripada kumpulan berpendapatan rendah, merasakan ini membebankan kerana ia meningkatkan masa perjalanan mereka,” katanya.

Pakar keselamatan jalan raya dari Universiti Putra Malaysia, Law Teik Hua, berkata lorong motosikal perlu selamat, diselenggara dengan baik dan mempunyai pencahayaan mencukupi, dan menambah penunggang tidak akan menggunakannya jika mereka merasakan ia lebih bahaya berbanding jalan utama.

Law Teik Hua
Law Teik Hua.

“Sebahagian penunggang melaporkan isu seperti selekoh tajam, lorong sempit serta halangan mengejut seperti serpihan, dawai, lubang dan tumpahan minyak.

“Yang lain pula pernah mengalami ancaman keselamatan seperti rompakan, terutamanya di laluan sunyi atau bawah jejambat,” katanya.

Law berkata, selain penguatkuasaan, pendidikan dan libat urus dengan penunggang motosikal juga penting untuk meningkatkan penggunaan lorong khas motosikal.

Katanya, penunggang motosikal perlu didedahkan kepada manfaat keselamatan lorong khas dan keperluan undang-undang melalui kempen, papan tanda serta program libat urus komuniti oleh agensi kerajaan dan kumpulan advokasi keselamatan jalan raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.