Mohd Sakeri puas kumpul lebih 3,000 figura permainan

Mohd Sakeri puas kumpul lebih 3,000 figura permainan

Dia melihat hobi ini sebagai kepuasan dan terapi kepada dirinya.

Mohd Sakeri Mohd Yunus, pemilik Toyz Mania yang memiliki lebih 3,000 figura permainan. (Gambar Bernama)

Kuantan: Umpama berada di kedai mainan kanak-kanak, premis “Toyz Mania” ini sebenarnya adalah milik seorang lelaki dewasa yang memang meminati figura permainan sejak di bangku sekolah rendah lagi.

Mohd Sakeri Mohd Yunus berusia 42 tahun ini berkata sewaktu kecil, dia sanggup mengumpul wang pemberian ibunya sebagai upah mencuci pinggan mangkuk di kedai makan milik keluarga untuk membeli patung kecil berkenaan.

Premis Toyz Mania miliknya itu mempamerkan koleksi lebih 3,000 figura permainan dari pelbagai watak animasi dan adiwira daripada filem atau siri televisyen popular.

Antara koleksi kegemarannya. (Gambar Bernama)

Mohd Sakeri yang juga pemilik syarikat produk makanan kesihatan itu berkata, pada peringkat awal dia meminati figura permainan daripada siri animasi televisyen seperti Ghostbusters, ThunderCats dan Ninja Turtles sebelum perlahan-lahan beralih ke filem aksi seperti Batman dan Transformers. Kemudian, diikuti watak lebih terkini seperti The Avengers dan Deadpool.

“Selain itu, ada juga figura daripada watak popular seperti Doraemon, Toy Story, Smurfs, Spiderman, Dragon Ball dan permainan video Super Mario, selain watak animasi tempatan seperti Upin dan Ipin serta BoBoiBoy,” katanya.

Menurut bapa kepada dua anak berusia tujuh dan sembilan tahun itu, dia menempatkan koleksi fiqura permainannya di pejabat untuk membolehkan dia menghilangkan tekanan kerja dengan membelek figura mainan terbabit selain tidak mahu”menyesakkan” kediamannya.

Ditanya koleksi paling disayanginya, Mohd Sakeri pantas menuding ke arah patung watak Transformers iaitu Bumblebee dan Optimus Prime yang menurut anak jati Temerloh itu diperoleh pada harga RM2,500 seunit.

“Bagaimanapun, saya ada juga patung mainan yang dibeli pada harga serendah RM5 kerana pada saya, keistimewaan sesuatu figura tidak terletak pada harga, sebaliknya pada keunikan figura permainan itu,” jelasnya.

Mohd Sakeri Mohd Yunus membersihkan figura permainannya. (Gambar Bernama)

Dia melihat hobi ini sebagai kepuasan dan terapi kepada dirinya. Malah, koleksi ini juga boleh menjadi pendapatan sampingan terutamanya figura yang lama disimpan dan sukar didapati masa kini sehingga menyebabkan harga jualan boleh melambung beberapa kali ganda berbanding harga asal.

“Ada juga individu yang pernah menawarkan RM50,000 untuk membeli semua koleksi saya, namun terpaksa ditolak kerana saya sedar tidak mungkin saya boleh mengumpulkan semula figura yang ada jika dijual,” katanya yang turut menjual figura tertentu kepada peminat tegar sepertinya.

Menurut Mohd Sakeri lagi, dia mengambil masa dua hingga tiga hari dalam sebulan untuk membersihkan kesemua figuran mainan terbabit selain memastikan setiap satu dijaga dengan baik, sehinggakan mainan menggunakan bateri masih berfungsi dengan elok sekalipun sudah”berusia” belasan tahun.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.