Saifuddin kritik dasar Trump halang Harvard terima pelajar antarabangsa

Saifuddin kritik dasar Trump halang Harvard terima pelajar antarabangsa

Ahli Parlimen Indera Mahkota gesa Kementerian Pendidikan Tinggi hubungi pelajar Malaysia di Universiti Harvard dan universiti lain bagi memastikan kebajikan terpelihara.

harvard
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS mengumumkan Universiti Harvard tidak lagi dibenarkan menerima pelajar antarabangsa, manakala pelajar sedia ada perlu berpindah ke institusi lain. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen pembangkang mengkritik dasar pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang tidak lagi membenarkan Universiti Harvard menerima pelajar antarabangsa.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, berkata tindakan Trump disifatkan amat tidak bertamadun mengambil kira ia sebagai institusi ilmu yang mengamalkan kebebasan akademik.

“Tindakan Trump ini amat tidak bertamadun. Universiti adalah institusi ilmu yang menghayati budaya ilmu dengan prinsip kebenaran dan keadilan.

“Ia mengamalkan kebebasan akademik dalam kalangan pensyarah dan mahasiswanya, termasuk bersuara atas isu kemasyarakatan tanpa ‘fear or favour’,” katanya dalam kenyataan.

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah.

Menurut pengerusi portfolio pendidikan PN itu, antara faktor kekuatan sebuah universiti ialah pertemuan dan kerjasama antara minda terbaik dari seluruh dunia yang berhimpun di situ untuk belajar, menyelidik, berbincang dan menerbitkan pelbagai karya.

Justeru, beliau menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menghubungi pelajar Malaysia di Universiti Harvard dan universiti lain bagi memastikan kebajikan mereka terpelihara.

Pentadbiran Trump mengumumkan tindakan itu pada Khamis, sekali gus mencetuskan ketegangan baharu dalam perbalahan mengenai kebebasan institusi Ivy League tersebut terhadap dasar kerajaan.

Dalam kenyataan, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) AS mengumumkan, Harvard tidak lagi dibenarkan menerima pelajar antarabangsa, manakala pelajar sedia ada perlu berpindah ke institusi lain atau berdepan kehilangan status sah mereka di negara itu.

Arahan itu dikeluarkan Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Kristi Noem, yang mengarahkan sijil Program Pelajar dan Pertukaran Pelawat (SEVP) Harvard ditamatkan.

Ia susulan amaran dikeluarkan bulan lalu, apabila beliau menuntut Harvard menyerahkan maklumat terperinci mengenai ‘aktiviti haram dan ganas’ melibatkan pelajar antarabangsa sebelum 30 April.

Langkah itu dijangka memberi kesan besar kepada komuniti pelajar Harvard, yang merekodkan seramai 9,970 pelajar antarabangsa.

Harvard dalam kenyataan menyifatkan tindakan itu sebagai tidak sah di sisi undang-undang dan berikrar untuk terus mempertahankan hak institusi menerima pelajar dan sarjana antarabangsa dari lebih 140 negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.