
Mohamad Fauzi Kamaruddin, seorang peniaga pasar malam berkata beliau mula mengumpul barang bersejarah sejak berusia belasan tahun dan menjadikan kediamannya di Jalan Kuala Krai di sini sebagai galeri yang dinamakan Galeri Kraf Warisan Purba untuk menempatkan lebih 10,000 artifak miliknya.

“Artifak ini yang sebahagian besar merupakan tinggalan zaman Kesultanan Melayu Kelantan dan Patani, kini tidak ternilai harganya dan saya kumpul untuk ditatap generasi muda.
“Lihat pedang yang dipanggil `Pedang Hukuman’ ini yang dianggar berusia 300 tahun, masih ada kesan darah dan dipercayai digunakan untuk memancung kepala pesalah pada zaman tersebut,” kata lelaki yang berusia 38 tahun ini.
Mohamad Fauzi berkata antara koleksi beliau yang disifatkan unik ialah sembilan bilah keris lama yang dibuat oleh penempa terkenal dari tanah Jawa digelar ‘Pandai Saras’, lebih 100 tahun lalu.
“Dikatakan penempa ini pernah menetap di Kelantan bagi membuat senjata untuk panglima Istana Kelantan ketika itu,” katanya.
Koleksi lain ialah beberapa bilah kapak kecil yang dipercayai pernah digunakan oleh pengikut Tok Janggut ketika menentang British di Pasir Puteh.

Malah terdapat pelbagai artifak seperti pedang, keris, lembing, ukiran pintu dan tingkap, cincin, pinggan mangkuk termasuk basikal lama yang dipamerkan di kediamannya.
Mohamad Fauzi juga tidak keberatan sekiranya ada mana-mana pihak berhasrat membuat kajian terhadap artifak yang dimilikinya itu demi manfaat bersama.
Menurut Pengerusi Persatuan Seni Purba dan Kraftangan Kelantan Alwi Yusof, koleksi Mohamad Fauzi, terutamanya pedang dan keris terbabit, adalah barang bersejarah yang tidak ternilai. Pihaknya bercadang untuk mempamerkan artifak tersebut di tempat yang sesuai termasuk muzium.
Alwi yang juga Ahli Lembaga Muzium Negeri Kelantan turut berpandangan kajian perlu dilakukan ke atas artifak terbabit bagi memastikan warisan sejarah negeri itu tidak lenyap begitu sahaja.
Sumber: BERNAMA
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]