
Sebuah bilik kecil memuatkan pelbagai kotak berisi permainan Lego yang disusun hingga mencecah siling, sudah cukup membuktikan keghairahan seorang peminat Lego di Vietnam.
Seorang pereka industri, Hoang Dang banyak menghabiskan masa di bilik itu untuk menghasilkan binaan legonya termasuk sebuah bot memancing yang diletakkan bendera negara berkenaan.
Hoang meminati permainan Lego sejak kecil lagi namun dia mula mengumpulnya secara serius sejak beberapa tahun lalu ketika melanjutkan pengajian di Detroit, Amerika Syarikat dan kagum dengan pelbagai koleksi dari negara itu.
Dia banyak mendapat inspirasi di tempat tinggalnya sendiri, Vietnam dengan mereka semula rumah yang pernah didiami ketika zaman kanak-kanak.
Selain itu dia juga membina sebuah kuil Old Quarter di Hanoi dan ruang tamu zaman 1990an ketika sambutan Tahun Baru Cina dalam bentuk miniatur.
“Saya ingin menyampaikan perspektif ini kepada rakan di seluruh dunia kerana komuniti membina Lego di Vietnam kurang dikenali di sini mahupun peringkat global,” katanya.
Hoang kini masih menyiapkan sebuah bangunan besar untuk dipamerkan kepada orang ramai dan ia mengambil masa kira-kira lima bulan untuk menyiapkan binaan dihasilkan dengan 5,000 bongkah Lego.
Katanya, kebanyakan masanya juga dihabiskan untuk mencari bongkah Lego yang bersesuaian untuk dipadankan.
“Biasanya saya menghabiskan masa sepanjang waktu petang hanya untuk mencari satu bongkah Lego,” katanya.
Biarpun sudah mempunyai lebih dua juta bongkah Lego, Hoang tidak berpuas hati dan sentiasa mencari bongkah baru, pada masa sama memberi peluang mengenali rakan baru termasuk Khang Huynh di Ho Chi Minh.
Mereka bertemu di Facebook menerusi komuniti pembina dan pengumpul Lego.
“Sebenarnya bermain Lego ini mengembalikan semula tenaga kreatif selepas penat bekerja,” katanya.
Dua rakan itu sering menjadikan pemandangan di jalanan sebagai inspirasi mereka untuk membina Lego manakala Khang lebih suka menggabungkan binaan lebih kompleks seperti motosikal klasik Honda.
“Saya sentiasa tertarik dengan pemandangan sekitar pada setiap hari dan akan membina apa saja yang dirasakan comel dan dekat di hati,” kata Khang.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]