
Di era pandemik ini, jarang benar kita dengar syarikat yang meraikan kakitangan dengan ganjaran wang dan percutian.
Namun, itulah yang dilakukan ketua pegawai eksekutif dan pengasas syarikat pakaian dalam pembentuk tubuh, Spanx, Sara Blakely.
Jumaat lalu, Blakely berkongsi di akaun Instagramnya bagaimana dia mengejutkan seluruh kakitangan di syarikatnya.
Dalam video tersebut dia dilihat memusingkan ‘globe’ sebelum mendedahkan telah membelikan dua tiket penerbangan kelas pertama kepada setiap kakitangannya ke mana saja destinasi di dunia.
“Jika anda melancong, sudah tentu anda mahu menikmati makan malam yang hebat, mungkin juga ke hotel ternama, jadi dengan setiap tiket kelas pertama ke mana saja destinasi di dunia, anda juga akan menerima AS$10,000.”
Seperti yang dijangka, video tersebut merakamkan reaksi kakitangannya yang terlalu gembira dan terkejut dengan pengumuman itu.
“Saya benar-benar mahu setiap kakitangan meraikan saat ini dengan cara mereka sendiri dan mencipta memori yang kekal hingga ke akhirnya! Tahniah untuk 21 tahun yang penuh keajaiban,” katanya di Instagram.
Minggu lalu, sebuah syarikat ekuiti swasta, Blackstone mendedahkan akan menjadi pemegang kepentingan utama jenama tersebut.
Biarpun terma kewangan perjanjian itu tidak didedahkan, difahamkan dalam satu siaran media ia membabitkan persetujuan mencecah AS$1.2 bilion.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]